Penduduk sambut baik pembukaan Perpustakaan Desa Asahan

Penduduk sambut baik pembukaan Perpustakaan Desa Asahan

Baguslah macam tu..

ASAHAN, 13 Ogos – Penduduk di kawasan Asahan menyambut baik usaha yang dilakukan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM) yang membuka sebuah lagi perpustakaan Desa Asahan di kawasan tersebut.

Kebanyakan penduduk menyuarakan pandangan yang positif atas usaha yang dilakukan oleh PERPUSTAM dalam usaha menyampaikan ilmu dan maklumat kepada masyarakat khususnya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.

ZAIRUL ASHRAF

Seorang penduduk, Zairul Ashraf Zailani, 20, dari Taman Seri Asahan berkata, pembukaan perpustakaan desa yang baharu itu amat baik kerana ia dapat memberi peluang terutama pelajar untuk menambahkan ilmu pengetahuan.

“Selain golongan kanak-kanak dan pelajar, pembukaan perpustakaan desa ini juga dapat memberi manfaat kepada golongan dewasa kerana banyak buku baharu boleh didapati di sini,”katanya.

SENIN

Bagi Senin Penchok, 49, pula berpendapat, pembukaan perpustakaan desa itu juga memberi rahmat bukan sahaja kepada penduduk di kawasan kampung itu, malah kepada penduduk berhampiran seperti Simpang Bekoh.

“Perpustakaan desa ini pastinya dapat memberi kemudahan yang lebih selesa kepada penduduk kampung kerana mereka tidak perlu lagi pergi ke perpustakaan di Jasin dan ia dapat menjimatkan masa.

“Selain itu, kedudukannya yang berdekatan dengan Masjid Tun Khalil juga secara tidak langsung akan dapat menarik perhatian umat Islam untuk datang berkunjung dan menggunakan kemudahan yang ada di perpustakaan ini,”katanya.

Sementara itu, Pengarah PERPUSTAM, Mohamed Aizammuddy Mohamed Idris, berkata pembukaan Perpustakaan Desa Asahan yang terletak bersebelahan dengan Masjid Tun Khalil Kampung Relau itu sekaligus memperlengkapkan sejumlah 28 buah perpustakaan desa di bawah pengurusan PERPUSTAM.

Menurut Mohamed Aizammuddy, perpustakaan yang mampu menampung kira-kira 40 orang pengguna pada satu-satu masa itu telah mula beroperasi sejak 25 Jun lalu dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan kepada masyarakat.

“Antara perkhidmatan yang disediakan ialah perkhidmatan pinjaman, rujukan, akhbar dan majalah serta koleksi peperiksaan,”katanya.

“Waktu perkhidmatan perpustakaan desa ini ialah dari jam 2 petang hingga 5 petang pada setiap Isnin hingga Khamis, Jumaat (2.45 petang hingga 5 petang), Sabtu (9.30 pagi hingga 2 petang dan ditutup pada hari Ahad dan cuti umum,”katanya.

Oleh MUHAMMAD ZAIDEE DAUT

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES