Categories: Aduan RakyatMELAKA

Penduduk mohon lampu isyarat di Jalan Solok Duku-Tanjung Bidara

MASJID TANAH 15 Jan. – Penduduk Kampung Ayer Hitam Darat dan Tanjung Bidara, di sini memohon Jabatan Kerja Raya (JKR) menyediakan lampu isyarat di simpang empat Jalan Kampung Solok Duku-Tanjung Bidara kerana keadaannya didakwa berbahaya.

Mereka menggesa JKR segera menjalankan kajian mengenai kepentingan menyediakan kemudahan berkenaan bagi mengelakkan kemalangan jalan raya, terutama membabitkan kematian.

Seorang netizen yang menggunakan nama Mohd Noh Shipping mendakwa, jalan lurus tanpa sebarang selekoh dari Kampung Solok Duku ke Tanjung Bidara itu berbahaya kerana kebanyakan kenderaan dipandu laju.

“Kami pergi balik kerja melalui jalan itu kerana ia adalah jalan pintas dari Masjid Tanah ke Tanjung Bidara dan Kuala Sungai Baru.

“Kami mohon jasa baik pihak berwajib supaya memandang serius perkara ini,” katanya dalam laman sosial Facebook.

Tinjauan MelakaKini di laluan berkenaan mendapati ada empat tiang lampu disediakan JKR di simpang itu selain papan tanda amaran mengenai simpang empat bagi laluan dari Kampung Solok Duku dan Tanjung Bidara.

Bagaimanapun, garisan belang kuning kira-kira 100 meter sebelum simpang berkenaan sudah pudar, menyebabkan kebanyakan pengguna jalan raya dipercayai kurang mampu mengesan kewujudan simpang empat itu.

Tinjauan juga mendapati kebanyakan kenderaan yang melalui laluan berkenaan dipandu agak laju berikutan keadaannya yang lurus dan lebar.

Sementara itu, Jurutera Daerah (JD) JKR Alor Gajah, Hafrin Salleh berkata, JKR tidak bercadang menyediakan lampu isyarat di simpang empat berkenaan kerana aliran lalu lintasnya tidak tinggi.

Beliau berkata, kajian jabatan itu mendapati jumlah kenderaan yang melalui jalan lurus sejauh kira-kira tiga kilometer (km) dari Solok Duku ke Tanjung Bidara itu tidak mencapai tahap yang memerlukan lampu berkenaan disediakan di simpang terbabit.

Katanya, bukan menjadi kewajipan setiap simpang dua, tiga atau empat perlu disediakan lampu isyarat kerana ia bergantung kepada jumlah aliran lalu lintas di sesuatu lokasi.

“Di simpang berkenaan sudah sedia ada lorong rizab untuk membelok ke kanan bagi kenderaan yang datang dari Solok Duku dan rizab membelok ke kiri bagi yang datang dari Tanjung Bidara.

“Rizab berkenaan tidak mengganggu kenderaan yang tidak membelok ke kiri atau kanan di simpang itu dan keprihatinan pengguna jalan raya untuk memperlahan kenderaan masing-masing ketika melalui simpang itu amat penting bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Bagaimanapun, dakwaan netizen lampu jalan di simpang berkenaan tidak berfungsi sepenuhnya akan diambil tindakan segera, katanya.

Hafrin berkata, penyelenggaraan jalan berkenaan dijalankan secara berkala sama ada oleh JKR sendiri atau syarikat swasta bergantung kepada peruntukan Kementerian Kerja Raya.

Yusri Sahat

Leave a Comment
Share
Published by
Yusri Sahat

Recent Posts

Hantar tulisan anda dan kami bayar!

Kami mencari penulis sambilan dan tetap di MelakaKini.my. Sekiranya tulisan anda dikeluarkan, kami akan bayar…

5 days ago

Hidup di laut jauhkan nelayan dari ancaman Covid-19

TANJUNG BIDARA 19 Mac - Nelayan adalah antara golongan dikatakan menghadapi risiko rendah untuk diserang…

3 months ago

COVID-19: 32 kes baharu di Singapura, jumlah terkini 345, 124 pulih

SINGAPURA 20 Mac -- Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) melaporkan sebanyak 24 kes import dan lapan…

3 months ago

Tiada rakyat Melaka meninggal dunia akibat Covid-19: Exco Kesihatan

AYER KEROH 20 Mac - Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman menafikan dakwaan…

3 months ago

ATM nafi atur gerak aset tentera untuk ambil alih negara

KUALA LUMPUR 20 Mac -- Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang menjelaskan…

3 months ago