Penduduk berang diserang ‘jutaan’ lalat

Penduduk berang diserang ‘jutaan’ lalat

Memang serius sangat kes ni...Wajar ladang ternakan tersebut diambil tindakan segera. Jangan lengah-lengah..

MENGGONG 10 Julai – “Kalau lalu di lantai mahupun mana-mana permukaan di sekitar rumah, lalat yang hinggap akan menderu umpama sekawan lebah,” kata seorang penduduk, Satina Yama,59, yang berdepan ‘serangan’ lalat di kampungnya.

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

Menurutnya, isu pembiakan lalat yang berlaku di Kampung Baru Menggong di sini berlarutan hampir 5 tahun lalu malah keadaan berkenaan semakin serius melanda kampung itu sejak hampir tiga tahun lalu.

Jelasnya, kegiatan industri penternakan ayam antara punca utama telah menjadi rungutan penduduk yang terkesan akibat terpaksa berdepan dengan permasalahan tersebut setiap hari.

“Terdapat tiga kawasan industri penternakan ayam beroperasi di kawasan ini malah salah satu daripadanya merupakan antara pengeluar ayam terbesar di negara ini.

“Dahulu lokasi ini terletak agak jauh dari kampung ini tapi syarikat ini telah membesarkan ladangnya sehinggakan lokasi itu terletak berhampiran kawasan kampung ini.

“Pembinaan ladang berdekatan kampung amat tidak wajar malah disebabkan sistem operasi ladang yang tidak teratur kami pula terpaksa menanggung bahana dari perbuatan mereka.

“Kampung ini akan diserang jutaan lalat khususnya setiap kali tuaian pengeluaran ayam beroperasi di kawasan ini.

“Perkara ini disebabkan bawaan angin dan operasi pengeluaran ayam itu merupakan faktor utama kepada tarikan lalat untuk membiak,” katanya.

Dalam pada itu, menurut seorang lagi penduduk kampung, Mohd Saad Abdul Mutalib, 63, mendakwa isu pembiakan lalat itu disebabkan sistem pengurusan ladang termasuk pengurusan sisa menjadi punca utama kepada permsalahan terbabit.

Ujarnya, disebabkan keadaan itu, ramai penduduk kampung terpaksa menangguhkan perancangan bagi melaksanakan kenduri-kendara di kampung berkenaan disebabkan lalat akan menghurung makanan dan bakal mendatangkan masalah kesihatan.

“Kadangkala, kami terpaksa menanggung malu terutama kepada saudara-mara jauh yang datang ke rumah kami disebabkan permasalahan lalat ini

“Malah ada penduduk yang akan mengadakan kenduri terpaksa melaksanakannya pada waktu malam bagi mengelakkan gangguan lalat.

“Jangankan ada setitik benda manis terjatuh atas lantai sudah pasti menjadi tarikan utama lalat untuk menghurung.

“Perkara ini telah berlarutan malah kami bagaikan sudah lali dengan permasalahan lalat, paling penting pada waktu malam pun masih ada lalat berterbangan di dalam kawasan rumah,” katanya.

Malah, Rohani Mohd Ali,59, berkata, bagi mendepani masalah ditanggung itu, keluarganya terpaksa menghabiskan wang termasuk membeli sejumlah racun serangga serai wangi bagi persedian membasmi haiwan perosak itu.

Katanya, walaupun inisiatif itu dilakukan keluarganya sebagai stok simpanan beberapa bulan namun permasalahan itu masih sama dihadapi keluarganya.

“Pembawakan lalat dari industri ini mendatangkan kesan kepada penduduk malah ada beberapa penduduk turut diserang gangguan kumbang namun kes ini tidak serius kerana menyerang beberapa rumah sahaja.

“Ada yang mendakwa serangan kumbang ini juga merupakan bawaan daripada lalat yang menyerang kampung ini,” katanya.

CATEGORIES
TAGS