Pendidikan komuniti Orang Asli diutamakan

Pendidikan komuniti Orang Asli diutamakan

Antara agenda utama Kerajaan Negeri Melaka...

MACHAP BARU 10 Sept. – Usaha meningkatkan tahap pendidikan dalam kalangan pelajar Orang Asli masih menjadi agenda utama kerajaan negeri.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, usaha ini perlu dipergiat dengan kerjasama pelbagai pihak melalui penambahan infrastruktur pendidikan dan penerapan terhadap kempen kesedaran mengenai kepentingan pendidikan.

Menurutnya, kesedaran dan perubahan perlu bermula dari rumah khususnya dalam kalangan ibu bapa masyarakat Orang Asli.

“Bidang pendidikan bukan saja bertujuan meningkatkan pengetahuan seseorang, tetapi juga membantu meningkatkan keyakinan diri serta menghapuskan sikap rendah diri dan memboleh bersaing setanding dengan masyarakat lain.

“Saya dimaklumkan terdapat pelajar Orang Asli di negeri ini yang telah berjaya melanjutkan pelajaran di universiti tempatan dan luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Sambutan Hari Orang Asli Negeri Melaka 2019, Taman Rekreasi Datuk Wira Poh Ah Tiam di sini.

Hadir sama, Exco Wanita, Hal Ehwal Kebajikan dan Pembangunan Luar Bandar, Ginie Lim Siew Lin dan Ketua Pengarah JAKOA Malaysia, Prof. Dr. Juli Edo.

Tambah Adly, perkara tersebut membuktikan Orang Asli semakin sedar mengenai kepentingan pendidikan.

“Kita akan terus memastikan agar mereka menerima pendidikan secara formal dicapai.

“Kerana itu, kerajaan negeri sentiasa komited membantu pelajar Orang Asli melalui Skim Bantuan Galakan Pendidikan yang telah dilaksanakan oleh JAKOA dan Tapem,” katanya.

Jelasnya, setiap cadangan penambahbaikan berkaitan hal-hal Orang Asli akan dipertimbang bergantung kepada kemampuan semasa kerajaan.

“Semua ini merupakan komitmen yang sedang dan akan dilaksana untuk melahirkan pemimpin berwibawa seterusnya mengangkat masyarakat Orang Asli setanding dengan kaum lain.

“Saya harap masyarakat Orang Asli di negeri ini terus berusaha meningkatkan taraf hidup demi generasi akan datang. Manfaatkanlah segala bantuan disalurkan dengan baik,” katanya.

Pada majlis itu, beberapa Orang Asli turut menerima anugerah khas dari kerajaan negeri dan sumbangan bantuan.

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS