Pendeta Za’ba patriot sejati negara

Pendeta Za’ba patriot sejati negara

'Masihkah kau ingat'

ORANG-orang kita (kaya-kaya, besar-besar, bijak-bijak) duduk bersenang-senang diri masing-masing dalam bilik mahligai mereka dengan rasa penuh nikmat sentosa dan cukup puas hati pula, datang rasa hatinya dan sampai hatinya memandang anak-anak bangsa bergelumang dengan kehinaan dan kejatuhan kepada saf-saf yang jauh di belakang kaum penumpang negeri,” demikianlah antara petikan kata-kata dari tokoh bahasa, pemikir dan cendekiawan Melayu yang ulung iaitu Tan Sri Dr. Zainal Abidin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Pendeta Za’ba.

Dilahirkan pada 16 September 1895 di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir, Negeri Sembilan, Allahyarham dilihat sebagai tokoh bahasa yang memberikan sumbangan besar dalam bidang bahasa dan persuratan Melayu.

Beliau menerima gelaran ‘Pendeta’ secara rasmi pada tahun 1956 ketika berlangsungnya Kongres Persuratan Melayu Ketiga di Johor Bahru. Semua titik peluh yang dicurahkan dalaml kerjanya adalah kerana beliau mahu meletakkan bahasa Melayu di puncak persada tanpa mengharap apa-apa balasan.

 

ABDIKAN DIRI PERKASAKAN BAHASA DAN PERSURATAN MELAYU

Ketika berkhidmat di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim, Za’ba menumpukan usahanya untuk menggabungkan tatabahasa Arab dan Inggeris ke dalam bahasa Melayu dan menggunakan aturan tatabahasa tersebut dalam penerbitan buku teks sekolah dan bahan bacaan umum. Ketika di Tanjong Malim juga, Majalah Guru dan Al-Ikhwan telah terbit. Za’ba turut menyumbangkan hasil tulisan, termasuk karya terjemahan beliau dalam kedua-dua majalah tersebut sehingga tahun 1931. Beliau kemudian meneruskan kerjaya penulisannya dengan menulis rencana bercorak agama untuk diterbitkan sebagai buku. Usaha pertamanya, buku Umbi Kemajuan telah diterbitkan pada tahun 1932.

Za’ba merupakan anak Melayu yang tidak jemu-jemu mengabdikan dirinya dalam bidang bahasa dan persuratan Melayu. Karya beliau yang terkenal ialah Pelita Bahasa Melayu, sebuah kitab rujukan utama bagi seluruh masyarakat yang ingin mempelajari bahasa Melayu.

Beliau juga berjaya menghasilkan buku tatabahasa berjudul Ilmu Mengarang Melayu. Kedua-dua karya tersebut telah dijadikan buku teks sekolah sehingga selepas Perang Dunia Kedua.

Selain itu, Daftar Ejaan Jawi/Rumi merupakan sebuah lagi hasil karya terpenting Za’ba. Beliau turut menulis dalam Journal of Malayan Branch Royal Asiatic Society (JAMBRAS) dalam usaha beliau memperkenalkan bahasa Melayu kepada orang asing.

 

PENULISAN ZA’BA MENJANGKAUI PEMIKIRAN UMUM

Za’ba tidak hanya menumpukan minatnya terhadap bidang bahasa dan persuratan Melayu, malah tulisan beliau melangkaui bidang lain seperti ekonomi, agama dan sikap orang Melayu sendiri.

Beliau menulis tentang kemiskinan dan menyentuh mengenai cara mengatasi ekonomi masyarakat Melayu ketika itu. Di sinilah terletaknya ketegasan dan kebolehan beliau sebagai seorang nasionalis.

Selain itu, Za’ba turut aktif dalam khidmat masyarakat. Beliau pernah menjadi Penasihat Umum bagi Persaudaraan Sahabat Pena Malaya (1937), dan dilantik sebagai Yang Dipertua Persatuan Melayu Selangor (1945).

Pada tahun 1953, beliau dilantik sebagai pensyarah senior di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Bersama-sama Ungku Aziz, beliau mengatur pembentukan Pertubuhan Bahasa Pelajar dan dua tahun kemudian beliau menubuhkan Persekutuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBUM).

 

SUMBANGAN TIADA TOLOK BANDINGNYA

Sumbangan beliau sangat besar ertinya. Beliau bertanggungjawab merancang kurikulum sekolah, sebagai penterjemah dan pensyarah. Semasa era pendudukan Jepun di Tanah Melayu, beliau diberikan tanggungjawab bagi menulis buku yang boleh digunakan di Malaya ketika itu dan juga Sumatera.

Za’ba ialah sumber ilham dalam dunia pendidikan Melayu dan Arab. Beliau diibaratkan sebagai sebuah pelita yang mengerdip dalam kegelapan kemiskinan dunia pendidikan orang-orang Melayu ketika zamannya.

Tan Sri Dr. Haji Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia pada 23 Oktober 1973 ketika berusia 78 tahun. Al Fatihah..

 

SUMBER http://klikweb.dbp.my

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS