Penangan Nakhoda Kassim Char Kuey Teow

Penangan Nakhoda Kassim Char Kuey Teow

MOHD Shahril menyediakan char kuey teow untuk para pelanggan.

MERASAI hidangan Nakhoda Kassim Char Kuey Teow di Bukit Katil, membangkitkan kembali nostalgia di Pulau Mutiara.

Char kuey teow basah, cukup sempurna rasanya dengan manis, masin dan masam ditambah udang dan kerang serta dimakan dengan telur mata kerbau.

Mudah dan ringkas. Proses menyediakan hidangan kegemaran ramai ini cuma mengambil masa tidak sampai lima minit.

Bagaimanapun, jangan terkejut jika rasa char kuey teow yang anda sediakan itu tidak sama dengan hidangan yang dibeli di gerai-gerai lain walaupun cara penyediaannya lebih kurang sama.

“Secara asasnya, bahan-bahan untuk memasak char kuey teow adalah sama. Namun, kemahiran air tangan tukang masak menentukan sama ada char kuey teow itu menjadi atau tidak,” kata Mohd Shahril, pemilik Restoran Nakhoda Kassim Char Kuey Teow.

Mohd Shahril berkata, bahan mentah seperti udang dan kerang mesti segar kerana jika ia tidak segar akan menjejaskan rasa masakan.

Menurutnya, char kuey teow lebih sedap apabila dimakan bersama jeruk cili hijau kerana ia akan memberi ‘ummph’ di mana pelanggan tidak akan dapat merasai di tempat lain.

“Pelanggan boleh memilih pelbagai menu sama ada char kuey teow kosong, ditambah kerang, kerang dan udang atau special dengan udang, kerang dan telur,” katanya.

PELANGGAN ketika menikmati char kuey teow.

Di Nakhoda Kassim Char Kuey Teow, pelanggan boleh memilih sama ada mahu menikmati char kuey teow biasa, special atau double. Harga setiap hidangan pula antara RM6 hingga RM10 sepinggan.

Mohd Shahril sangat mementingkan kebersihan, dia sentiasa memastikan telur yang digunakan dibasuh terlebih dahulu sebelum dipecahkan ke dalam kuali.

Ujarnya, sebelum memulakan perniagaan char kuey Teow, dia bekerja makan gaji, tetapi oleh kerana minat berniaga dan atas sokongan isteri, anak dan keluarga, Mohd Shahril berhenti kerja dan buka gerai.

“Alhamdulilah, minggu pertama agak perlahan, tetapi semakin hari semakin diterima ramai sehingga saya tidak menang tangan menyediakan char kuey teow.

“Masa buka gerai, orang ramai dan ada masa mereka terpaksa berdiri dan lebih sulit jika keadaan hujan.

“Justeru itu, saya membuat keputusan mencari kedai yang lebih luas dan selesa untuk keselesaan para pelanggan,” ujarnya.

Restoran Nakhoda Kassim Char Kuey Teow terletak di Taman Suria bersebelahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka mula beroperasi pada tahun 2018 dan dibuka setiap hari dari jam 6 petang hingga 12 malam.

CATEGORIES
TAGS