Peminat keria Hj Jalil tak perlu berpanas lagi

Peminat keria Hj Jalil tak perlu berpanas lagi

LIMBONGAN 11 Feb. – Pembukaan kedai baharu Kuih Keria Antarabangsa Haji Jalil yang dilancarkan di Taman Limbongan Jaya, di sini, lebih sebulan lalu bakal menarik lebih ramai peminat keria baik dalam mahupun luar negara.

Mana tidaknya, pelanggan tidak lagi perlu beratur panjang dan berpanas berhujan demi mendapatkan ‘kuih viral’ di Melaka kerana restoran yang baharu dibuka cukup memberi keselesaan kepada pelanggan yang datang.

Bukan itu sahaja, selain hidangan kuih keria dan laksa yang menjadi rebutan, Restoran Kuih Keria Antarabangsa Haji Jalil turut membuat penambahbaikkan apabila menawarkan pelbagai menu ‘viral’ lain seperti Asam Pedas Ramen Kg Hulu dan pancake.

Anak kelima allahyarham Jalil,  Sudirman, 38, yang juga penyambung legasi warisan kuih keria bapanya berkata, restoran yang terletak di No. 29 Jalan Kristal Merah 2, Taman Limbongan Jaya beroperasi setiap hari kecuali Jumaat bermula jam 12 tengah hari hingga 7 malam.

Terdahulu, selepas pemergian Pengasas Kuih Keria Antarabangsa Haji Jalil Tompang Ogos tahun lalu, Sudirman dan seorang lagi beradiknya mengambil alih sepenuhnya urusan perniagaan untuk meneruskan legasi warisan bapanya.

Jalil meninggal dunia akibat pelbagai komplikasi selepas terbabit kemalangan jalan raya Julai lalu dan dikatakan ketika pulang menziarahi kubur isterinya, Rahmah Dollah (pengasas Kuih Keria Antarabangsa Limbongan) di Tanah Perkuburan Islam Limbongan Permai.

Mengikut rekod, Kuih Keria Antarabangsa Haji Jalil mampu mengeluarkan kira- kira 8,000 biji kuih keria sehari dan ia dijangka bertambah ketika hari Sabtu dan Ahad termasuk cuti umum.

CATEGORIES