Pemilihan MPKKB Machap Umboo tanpa penglibatan SPR

Pemilihan MPKKB Machap Umboo tanpa penglibatan SPR

Satu jawatankuasa yang berperanan seperti SPR perlu ditubuh untuk pantau perjalanan pemilihan MPKKB

AYER KEROH 4 Sept. – Proses pemilihan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Baru (MPKKB) Machap Umboo yang dirancang Kerajaan Negeri Melaka dijangka bakal diadakan tanpa penglibatan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ini kerana proses pemilihan bagi projek perintis tersebut bukanlah suatu fungsi utama SPR sepertimana yang termaktub mengikut Perlembagaan Persekutuan.

MelakaKini difahamkan suruhanjaya itu tidak akan terlibat langsung dalam pemilihan MPKKB Machap Umboo apabila ia diadakan kelak.

SPR yang ditubuhkan pada 4 September 1957 mengikut Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan mempunyai tiga fungsi utama iaitu:

1) Membuat kajian dan persempadanan semula Bahagian-bahagian Pilihan Raya Parlimen dan Negeri setiap tidak kurang daripada lapan tahun selepas tarikh siapnya urusan kajian dan persempadanan semula yang terdahulu;

2) Menjalankan urusan pendaftaran pemilih dan semakan daftar pemilih; dan

3) Menjalankan pilihan raya umum ke Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri, dan menjalankan pilihan raya kecil sekiranya berlaku kekosongan.

Sehubungan itu, SPR tidak dapat memberikan kerjasama seperti yang diharapkan kerajaan negeri kerana suruhanjaya itu hanya bertanggungjawab dalam mengendalikan pilihan raya Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri.

SPR sebagai sebuah badan bebas juga tidak terikat dengan apa-apa permintaan atau arahan dari Kerajaan Persekutuan dan mana-mana kerajaan negeri.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Machap Umboo menjadi perintis bagi sistem undian baharu pemilihan MPKKB.

Ketua Menteri, Adly Zahari dilaporkan berkata berkata, sistem undian yang dirancang itu adalah bagi memberi peluang kepada masyarakat untuk memilih pemimpin mereka melalui undian secara lebih demokratik.

Pada Julai lepas pilihan raya ketua kampung yang pertama di Negeri Sembilan melibatkan Kampung Baru Paroi telah diadakan tanpa penglibatan pihak SPR.

Kerajaan Negeri Sembilan dilapor memperuntukkan RM10,000 untuk menjalankan proses pilihan raya tersebut.

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS