Pemilihan MPKKB Machap Umboo jadi penentu

Pemilihan MPKKB Machap Umboo jadi penentu

Undi dengan bijak bukan dengan emosi

AYER KEROH 5 Ogos – Buat julung kalinya, penduduk Kampung Baru Machap Umboo di Alor Gajah berpeluang memilih ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Baru (MPKKB) daripada kalangan komuniti setempat melalui proses undian.

Projek perintis tersebut telah mendapat persetujuan Kerajaan Negeri Melaka dan dijangka dilaksanakan pada tahun ini dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Walaupun keputusan tersebut hanya diumumkan baru-baru ini, sudah terdapat permintaan daripada rakyat Melaka agar proses pengundian serupa diperluaskan untuk pemilihan ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan MPKKB di seluruh negeri ini.

Antara alasan yang diberikan ialah ketidakcekapan proses pelantikan yang dilaksanakan sebelum ini kerana individu yang bermasalah seperti penagih dadah tegar turut dilantik ke jawatan tersebut.

PENDIRIAN KERAJAAN NEGERI

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, kerajaan negeri memang mempunyai perancangan untuk memperluaskan sistem pemilihan di peringkat komuniti kampung ke seluruh MPKKB dan MPKK lain.

Namun pelaksanaannya bergantung kepada projek pemilihan perintis di MPKKB Machap Umboo.

“Kerajaan negeri akan membuat penilaian terlebih dahulu menerusi kejayaan projek perintis ini, sebelum ia dikembangkan ke seluruh negeri pada masa akan datang,” katanya.

ANTARA YANG PERLU DIPERTIMBANGKAN

Kos mungkin merupakan faktor utama dalam menentukan sama ada proses pemilihan secara undian tersebut dikembangkan ke seluruh negeri pada masa akan datang.

Seperti juga pilihan raya umum dan pilihan raya kecil, pemilihan MPKKB Machap Umboo bakal melibatkan urusan logistik dan pentadbiran yang memerlukan kos.

Penyediaan kelengkapan di pusat mengundi selain keperluan untuk mencetak kertas-kertas undi calon-calon bertanding merupakan antara perbelanjaan yang perlu dikeluarkan untuk proses pemilihan tersebut.

Berapa jumlah perbelanjaan yang perlu ditampung dan adakah ianya kos efektif hanya akan diketahui selepas pemilihan MPKKB Machap Umboo selesai dilaksanakan.

Selain itu kerajaan negeri juga dijangka menilai kesan pemilihan tersebut terhadap perpaduan masyarakat setempat.

Silap hari bulan, tempoh berkempen calon-calon MPKKB Machap Umboo mungkin akan lebih sengit berbanding kempen sewaktu pilihan raya umum dan lebih memecah-belahkan masyarakat.

Sama ada proses pengundian yang dirancang bakal menjadikan masyarakat kampung lebih berpuak-puak, sama-sama kita tunggu dan lihat.

MPKKB MACHAP UMBOO PENENTU KESINAMBUNGAN SISTEM PEMILIHAN

Penduduk dan calon-calon MPKKB Machap Umboo mempunyai tanggungjawab yang sangat besar dalam memastikan proses pemilihan yang julung kali diperkenalkan itu dapat diperluaskan ke kawasan-kawasan lain di negeri ini.

Sekiranya tindak-tanduk mereka dalam proses pemilihan ini lebih banyak meninggalkan impak yang negatif, maka kerajaan negeri tidak wajar dipersalahkan oleh mana-mana pihak sekiranya memutuskan proses pengundian serupa tidak akan diperkenalkan untuk MPKKB dan MPKK yang lain.

Antara hasrat kerajaan negeri dalam memperkenalkan sistem undian tersebut adalah untuk memberi peluang kepada para penduduk kampung itu sendiri memilih para pemimpin yang mereka inginkan.

“Ini merupakan satu perkara baharu dalam sistem pemilihan di peringkat komuniti kampung.

“Kita berharap dengan projek perintis ini pemilihan pemimpin di peringkat komuniti di negeri ini dapat dilakukan dengan lebih demokratik dan hanya mereka yang terbaik sahaja dipilih untuk berkhidmat kepada masyarakat,” kata Adly.

Semoga masyarakat di Kampung Baru Machap Umboo dan ratusan kampung lain di Melaka dapat memahami hasrat kerajaan negeri seperti yang dinyatakan oleh Ketua Menteri.

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS