Pembukaan laluan penerbangan antarabangsa di LTAM beri manfaat buat semua

Pembukaan laluan penerbangan antarabangsa di LTAM beri manfaat buat semua

Dengan penambahan laluan penerbangan antarabangsa di LTAM, maka jumlah pelancong akan terus bertambah..

PELAN kerajaan negeri menambah lebih banyak laluan penerbangan antarabangsa baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) disifatkan sebagai satu berita gembira buat penduduk negeri Melaka.

Baru-baru ini, kerajaan negeri telah mengumumkan akan cuba menambah penerbangan baharu dengan menyasarkan laluan penerbangan secara terus dari Indonesia dan China ke LTAM.

Menurut Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis, antara jaringan laluan yang dirancang ialah melibatkan penerbangan dua hala Melaka-Jakarta, Indonesia menerusi Batik Air.

Bukan itu sahaja, penerbangan ke China juga termasuk dalam senarai berkenaan yang mana ia bakal meliputi laluan ke Nanjing dan Hainan.

Pengumuman itu nyata membuatkan ramai teruja memandangkan lapangan terbang negeri kini boleh menampung banyak laluan penerbangan antarabangsa dan mereka tidak perlu lagi bersusah-payah untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setiap kali mahu ke luar negara.

Namun, di sebalik penambahan laluan penerbangan ini, apa pula impaknya kepada masyarakat dan negeri ini?

GALAK SEKTOR PELANCONGAN

Manfaat pertama yang diperoleh melalui pembukaan banyak laluan penerbangan baharu di LTAM sudah tentulah mampu memacu sektor pelancongan di negeri ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari sendiri menjangkakan inisiatif ini mampu menarik lebih ramai pelancong dari Indonesia dan China ke Malaysia amnya dan Melaka khasnya bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Dengan adanya penerbangan secara terus ini sudah pasti ia menggalakkan lebih ramai pelancong dari luar negara untuk datang dan melawat sendiri negeri Melaka yang tersenarai sebagai antara 10 lokasi pelancongan terbaik di dunia.

Pada masa sama, ia juga akan menambah lagi pendapatan penduduk setempat terutamanya buat pengusaha hotel, homestay dan juga peniaga-peniaga kecil di Melaka.

JAGA HUBUNGAN DIPLOMATIK

Selain itu, pembukaan laluan antarabangsa ini juga mampu untuk menjaga hubungan baik di antara Melaka dengan negara-negara luar.

Hubungan diplomatik yang utuh dengan negara-negara luar amat penting memandangkan ia sudah pasti dapat memacu perkembangan ekonomi negeri ini khususnya dan negara, amnya.

Namun, yang paling penting ialah hubungan diplomatik yang baik ini mampu mengekalkan kestabilan dan keselamatan negara sekali gus mampu mengelak konflik demi keharmonian rakyat.

TINGKAT PELABURAN

Dengan adanya banyak laluan antarabangsa baharu, secara tidak langsung ia juga dapat meningkatkan lagi sektor pelaburan negeri.

Ia terbukti apabila Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen menjangkakan, laluan penerbangan antarabangsa ini bakal membuka pintu pelaburan berskala lebih besar di masa akan datang.

Menurutnya, jika rundingan dan kerjasama ini berjaya, ia bukan sahaja akan menarik minat pelabur dalam negara bahkan pada masa sama akan memberi keyakinan kepada pelabur luar terutama dari China untuk datang terus ke Melaka dan menambah pelaburan di negeri ini.

Dari sudut pandang ini, jelaslah penambahan laluan penerbangan antarabangsa baharu mampu memberi impak cukup positif khususnya jika perkara ini menjadi kenyataan.

Kerjasama dengan China yang menjadi salah satu kuasa besar dunia dijangka mampu memacu pelaburan lebih besar, manakala hubungan baik dengan Indonesia pula bakal memberi lebih manfaat kepada sektor pelancongan dan kebudayaan negeri.

Justeru, tidak mustahil, dengan usaha berterusan daripada ramai pihak bagi merealisasikan perkara ini, negeri Melaka mampu menjadi antara salah satu negeri termaju di Malaysia suatu hari nanti.

CATEGORIES
TAGS