Pembinaan Masjid Ramuan China Besar siap 55%

Pembinaan Masjid Ramuan China Besar siap 55%

MASJID TANAH 11 Feb. – Pembinaan Masjid Al Muhtadi, Kampung Ramuan China Besar hampir 55 peratus siap dan dijangka boleh digunakan orang ramai menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsuddin berkata, tempoh siap masjid berkenaan telah lewat menyebabkan ia terpaksa ditunda kira-kira lima bulan lagi.

Jelasnya, ia disebabkan pengambilan tanah wakaf kira-kira satu setengah ekar berlarutan, malah proses pengiraan arah kiblat yang ditetapkan merupakan faktor ianya lewat disiapkan.

Katanya, semua kerja-kerja pembinaaan sedang rancak dibangunkan, namun hanya beberapa pembinaan seperti dinding dan bumbungnya belum lagi siap dibina.

Ujarnya, beliau berharap agar kontrakor dan pengurusan masjid tersebut dapat menyiapkan dengan kadar segera bagi memberi kemudahan penduduk kampung menggunakan kemudahan sedia ada.

Katanya, pembinaan masjid baharu itu menelan belanja RM3.57 juta dibina sejak Mei 2017 dan seharusnya siap pada 24 Januari lalu, tetapi terpaksa ditunda sehingga Jun tahun ini.

Menurut Mas Ermieyati, pembangunan kerohanian di kawasan itu akan dibangunkan dengan mengadakan pelbagai kelas agama, sekali gus mampu mengimarahkan masjid.

Ujarnya, bangunan utama bagi masjid lama di kawasan itu akan dijadikan kelas pengajian agama, selain pelbagai aktiviti lagi akan diadakan bagi memperkukuhkan ikatan penduduk dengan agama Islam.

“Terima kasih kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) kerana telah memberi peruntukan di atas pembinaan masjid ini yang dikatakan telah lama bertapak di negeri ini.

“Pembangunan kebendaan (material) dan pengetahuan amat penting dan ia perlu konsisten yang perlu diterapkan dalam
kalangan masyarakat.

“Kita bukan saja berharap dari segi penganjuran kelas agama, namun sikap dan teladan yang baik perlu diperbaiki bagi membuka minda penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Guru Penyayang & Salam Hormat ‘Malaysian Way Of Greetings’ di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hang Kasturi di sini, pagi tadi.

CATEGORIES