Pembentukan negara bangsa gagal selepas 62 tahun Merdeka?

Pembentukan negara bangsa gagal selepas 62 tahun Merdeka?

Jika sejak awal lagi Malaysia mencontohi Singapura, Indonesia dan Thailand, mungkin usaha mewujudkan satu bangsa Malaysia tidak sukar

MALAYSIA akan menyambut sambutan ulang tahun kemerdekaannya yang ke 62 pada 31 Ogos ini.

Tempoh 62 tahun merupakan satu jangka masa yang panjang namun di sebalik tempoh tersebut, negara didakwa masih gagal dalam menjayakan proses pembentukan negara bangsa atau ‘nation building.’

Mungkin akan ada yang tidak bersetuju namun Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Datuk Dr Teo Kok Seong telah membentangkan hujah-hujah beliau di program Bicara Eksekutif Keselamatan Negara, Kemakmuran Bersama anjuran bersama Majlis Keselamatan Negara Negeri Melaka dan Institut Tun Perak (ITP) di Auditorium Seri Negeri di sini baru-baru ini.

Berdasarkan artikel bertajuk ‘Pembangunan Negara Bangsa Melalui Pendidikan Sastera’ oleh Chew Fong Peng yang disiar di dalam Jurnal Pengajian Melayu, Jilid 17, 2006, negara bangsa ditakrifkan sebagai “satu proses melahirkan bangsa baru, yakni, sebuah negara yang mempunyai kedaulatan di mana semua rakyatnya disatukan oleh ikatan-ikatan seperti bahasa, budaya, nilai-nilai dan lain-lain yang membentuk bangsanya”.

DEFISIT KEPERCAYAAN ANTARA KAUM

Menurut Dr Teo, defisit kepercayaan di mana kaum-kaum berlainan mencurigai antara satu sama lain yang masih lagi wujud selepas hampir 62 tahun negara mencapai kemerdekaan adalah bukti proses pembentukan negara bangsa telah gagal.

Beliau berkata polemik yang timbul susulan langkah Kementerian Pendidikan memperkenalkan tulisan khat sebagai antara kandungan subjek Bahasa Melayu murid Tahun Empat termasuk di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan SJK Tamil (SJKT) mulai tahun depan adalah contoh defisit kepercayaan antara kaum yang masih menebal.

“Walaupun rakyat berbilang kaum di Malaysia nampak seperti bersatu-padu namun hakikatnya tiada kerukunan yang wujud antara kaum di negara ini.

“Kerukunan itu wujud apabila kaum-kaum yang berlainan saling sokong-menyokong antara satu sama lain,” jelasnya.

Beliau berkata hakikatnya polarisasi kaum adalah lebih jelas kewujudannya di negara ini berbanding
perpaduan antara kaum seperti yang sering didakwa.

SISTEM PENDIDIKAN SEMASA TIDAK MEMBENTUK PERPADUAN

Dr Teo berkata, sistem pendidikan merupakan elemen penting dalam membentuk perpaduan kaum khususnya di kalangan para pelajar sekolah rendah.

Namun, katanya, sistem pendidikan semasa telah menggalakkan pengasingan kaum melibatkan murid-murid pada peringkat umur yang sangat muda.

“Kerajaan harus menilai semula sistem pendidikan pelbagai aliran yang diamalkan sekarang kerana ia tidak membantu membentuk perpaduan kaum,” katanya.

Menurut Dr Teo, petua untuk melahirkan generasi pelbagai kaum yang bersatu-padu adalah dengan memperkenalkan sekolah satu aliran sahaja.

Jelasnya, contoh yang boleh diikuti adalah Singapura yang mengamalkan sistem pendidikan satu aliran untuk semua rakyatnya yang pelbagai kaum.

“Hasil daripada sistem pendidikan satu aliran, semua rakyatnya mendokong identiti Republik Singapura yang satu,” katanya.

INTEGRASI GAGAL BENTUK PERPADUAN KAUM BERBANDING ASIMILASI

Menurut Dr Teo, konsep integrasi kaum yang dipupuk sejak negara mencapai kemerdekaan telah gagal menghasilkan perpaduan kaum rakyatnya jika dibandingkan dengan konsep asimilasi yang telah dilaksanakan di Indonesia dan Thailand.

Ujarnya, rakyat Indonesia daripada pelbagai etnik telah berjaya disatukan oleh Bahasa Indonesia melalui proses asimilasi yang telah diperkenalkan.

“Kita pula terbalik, masih ada yang tidak boleh bertutur Bahasa Melayu walaupun menjadi seorang warganegara.

“Bahasa Melayu telah gagal untuk menyatupadukan anak bangsa seperti mana Bahasa Indonesia menyatupadukan Bangsa Indonesia,” katanya.

Keadaan serupa, katanya, turut berjaya direalisasikan di Thailand.

PENUTUP

Dr Teo berkata Malaysia telah berjaya dibentuk sebagai sebuah negara tetapi jiwa dan semangat patriotisme tidak dapat ditanam dalam kalangan semua warganegaranya.

Menurutnya, apa ertinya kerakyatan yang telah diberikan jika masih ada yang tidak mampu menguasai bahasa kebangsaan.

“Pekerja warga asing seperti Bangladesh mampu bertutur dalam Bahasa Melayu hanya selepas beberapa bulan bekerja di negara ini.

“Walaupun tidak sempurna namun ia jauh lebih baik berbanding warganegara yang tidak dapat menguasai Bahasa Melayu selepas puluhan tahun menetap di negara ini,” katanya.

Kerajaan Malaysia tambahnya, perlu memikirkan usaha pembentukan negara bangsa yang benar-benar dapat membentuk perpaduan dalam kalangan rakyatnya yang pelbagai kaum.

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS