Pembenihan awan dijangka dibuat Khamis atau Jumaat ini

Pembenihan awan dijangka dibuat Khamis atau Jumaat ini

Doakan yang terbaik...

SHAH ALAM, 17 Sept – Operasi pembenihan awan (OPA) buat kali kedua dijangka dijalankan pada Khamis atau Jumaat ini bagi mengurangkan kesan jerebu di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia yang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon.

Katanya bagi Sarawak pula, pihaknya menjangkakan operasi sama akan diadakan pada Jumaat atau Sabtu ini.

Katanya lagi, menurut perancangan awal MetMalaysia OPA kali kedua di sini akan dijalankan pada hari ini bagaimanapun ia terpaksa dibatalkan kerana keadaan tidak sesuai.

“Pemantauan kami mendapati pada hari ini dan juga esok keadaan atmosfera adalah kering dan kuat berangin, jika kita jalankan juga pembenihan awan, awan tidak akan terbentuk.

“Jadi kemungkinan OPA seterusnya kami akan jalankan pada Khamis atau Jumaat ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Tambah Jailan, pihaknya bagaimanapun akan sentiasa memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan melakukan OPA sekiranya keadaan mengizinkan.

“Untuk OPA ini, anggota dan alat kelengkapan kami telah bersedia di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang dan boleh digerakkan pada bila-bila masa, bagi OPA di Sarawak pula kami mempunyai pangkalan operasi di Pangkalan TUDM Labuan,” katanya.

Semalam, MetMalaysia dalam kenyataan berkata OPA telah dijalankan di tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka pada tengah hari semalam.

Walaupun hujan dilaporkan di Cheras, Bangsar, Petaling, Kuala Selangor, Hulu Langat, Klang, Gombak di Selangor selain Seremban, Tampin dan Jelebu di Negeri Sembilan serta Alor Gajah dan Jasin di Melaka, keadaan jerebu bertambah serius pada petangnya yang mana ratusan sekolah di seluruh negara ditutup hari ini berikutan IPU memasuki tahap sangat tidak sihat.

Sementara itu, Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) Dan Hal Ehwal Pengguna negeri Hee Loy Sian ketika dihubungi berkata kerajaan negeri melalui Jabatan Alam Sekitar Selangor telah membuat permohonan agar OPA dijalankan di kawasan yang mempunyai IPU melebihi 200, iaitu tahap sangat tidak sihat.

Di Selangor, sebanyak 201 sekolah di daerah Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat, Klang dan Petaling Perdana ditutup hari ini berikutan IPU direkodkan melebihi 200 semalam dan pagi tadi.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar setakat pukul 2 petang ini, bacaan IPU di Johan Setia adalah 236, Klang (196), Banting (183) dan Shah Alam (171).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).- BERNAMA

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS