Pelancong ke Melaka meningkat 17.02 juta – Adly

Pelancong ke Melaka meningkat 17.02 juta – Adly

AYER KEROH 14 Mac – Melaka mencatat peningkatan kedatangan pelancong ke negeri ini sebanyak 1.34 peratus iaitu seramai 17.02 juta pada tahun lalu berbanding 16.79 juta pada 2017.

Angka itu sekali gus mampu mencapai sasaran kerajaan negeri dan melonjakkan kedatangan pelancong ke Melaka kepada 20 juta pelancong tahun ini sempena Tahun Melawat Melaka 2019 (TMM2019)

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, dari jumlah tersebut pelancong domestik kekal sebagai penyumbang terbesar iaitu seramai 11.33 juta iaitu 66.59 peratus berbanding pelancong asing 5.68 juta (33.41 peratus).

“Manakala, jumlah pelancong asing terbesar yang datang ke Melaka ialah dari China dengan 1.7 juta (31.15%) diikuti Singapura dengan 1.5 juta (27.98%); Indonesia 813,400 pelancong (14.3%); Taiwan 141,600 pelancong (2.49%) dan Vietnam sebanyak 119,883 pelancong (2.11%),” katanya dalam sidang media Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh, semalam.

https://t.me/melakakinidotmy

Menurut Adly, untuk itu kerajaan negeri akan terus giat mempromosi produk pelancongan menerusi 13 subsektor pelancongan yang merangkumi sejarah, budaya, kesihatan, agropelancongan dan ekopelancongan bagi menarik lebih ramai pelancong.

“Kerajaan akan menambah baik dan membuat penilaian dalam semua program yang dijalankan sera penilaian akan dibuat bagi membantu sektor-sektor tersebut.

“Dalam tempoh dua bulan ini, kita sedang jalankan beberapa penilaian dan sepanjang tahun ini pelbagai aktiviti sudah dirangka untuk meneruskan promosi TMM2019,” jelasnya.

CATEGORIES
TAGS