Pelajar UiTM Melaka selami budaya masyarakat Islam Padang, Indonesia

Pelajar UiTM Melaka selami budaya masyarakat Islam Padang, Indonesia

Eratkan hubungan masyarakat serumpun

PADANG, INDONESIA 11 Nov. – Pengalaman berharga selama lima hari ke negara jiran dimanfaatkan 14 pelajar dan lapan pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) dan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka untuk mendalami budaya dan cara hidup masyarakat Islam di Bukit Tinggi dan Maninjau, Sumatera Barat, Indonesia.

Menerusi Program Rehlah Ilmi dan Alami 2019 (REAL19) yang bermula sejak 29 Oktober dan berakhir 3 November lalu mendedahkan pelajar dan pensyarah melalui program kemasyarakatan sukarelawan bersama komuniti setempat selain pembabitan semua peserta dalam seminar antarabangsa serta menjejak sejarah tokoh dakwah pergerakan Islam yang masyhur iaitu Buya Hamka.

Pada awal program berkenaan, peserta menyertai Seminar Komunikasi Antarabangsa di Fakultas Ushuluddin Adab dan Dakwa, Institut Agama Islam (IAIN) Batusangkar yang bertemakan Peranan Tokoh Indonesia dan Malaysia Terhadap Perdamaian Serantau Melalui Media.

Menerusi seminar berkenaan, Profesor Madya Dr. S. Salahudin Suyurno yang mengetuai semua peserta dari UiTM Melaka memberikan ucaptama manakala pembentang seminar diwakili dua pensyarah FKPM, Aini Faezah Ramlan dan Rosilawati Sultan Mohideen serta dua pensyarah dari ACIS iaitu Norajila Che Man dan Norizah Mohamed.

Rosilawati yang juga Pengarah Program REAL 19 berkata, program itu turut memberi pendedahan kepada pelajar FKPM untuk menggalas tanggungjawab sebagai sukarelawan menerusi Program ‘University Community Engagement’ (UCE) di Sekolah Luar Biasa Waraqil Janna dan Sekolah Negeri 13 Tanjung Sani.

Katanya, pelbagai aktiviti dianjurkan menerusi program berkenaan dan antaranya termasuk latihan dalam kumpulan serta menguji bakat pelajar kedua-dua sekolah tersebut.

“Bukan itu sahaja, FKPM dan ACIS UiTM Melaka turut menyalurkan sumbangan wang tunai berjumlah RM6,500 serta keperluan asas yang disumbangkan Yayasan Taqwa Wilayah Persekutan dan UiTM Melaka,” katanya kepada Melaka Kini.

Menurut Rosilawati, program anak angkat turut diadakan di perkampungan Tanjung Sani yang memberikan pengalaman bermakna kepada semua peserta dan penduduk kampung terbabit.

“Di perkampungan itu, peserta disambut dengan pelbagai acara termasuk makan beradat Minangkabau dan dihidangkan dengan masakan tradisional masyarakat kampung berkenaan.

“Pelajar juga diberi kesempatan untuk tinggal bersama keluarga angkat masing-masing dan mempelajari kehidupan serta peradaban masyarakat Minang dan pada masa sama merasa kehidupan masyarakat Islam yang menjadi amalan kehidupan seharian mereka,” katanya.

Tambahnya, kelangsungan setiap aktiviti yang dijalankan itu sekali gus memberi peluang kepada peserta REAL19 untuk menimba pengetahuan mengenai perjalanan kehidupan tokoh dakwah pergerakan Islam yang masyhur, Buya Hamka yang banyak memberikan impak tinggi serta meninggalkan nilai murni kepada masyarakat sehingga hari ini.

 

Farah Suhaidah Othman

CATEGORIES