Pelaburan Melaka subur bersama PH

Pelaburan Melaka subur bersama PH

Ekonomi Melaka akan terus mekar & maju....

TARIKH 9 Mei ini genap setahun Kerajaan PH mentadbir selepas mengambil alih pimpinan negara daripada kerajaan terdahulu.

Tempoh setahun ini juga menjadi titik tolak kepada kejayaan pentadbiran PH terutama dalam membentuk negara menjadi lebih baik dalam pelbagai aspek dan bidang.

Memfokuskan kepada pelaburan, boleh dikatakan dari semasa ke semasa Kerajaan Negeri Melaka berjaya menarik perhatian pelabur luar untuk menanam modal di negeri ini.

Meskipun masih ‘hijau’ dalam kepimpinan, bukan mustahil kerajaan baharu ini mampu mewujudkan kepercayaan orang luar kepada mereka.

SASAR PELABURAN RM5 BILION SETAHUN

Ketua Menteri, Adly Zahari menzahirkan keyakinan bahawa ekonomi Melaka dijangka kekal dalam landasan pertumbuhan sederhana tahun ini.

Ia dianggarkan berkembang pada kadar antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus sahaja dan bagi mengatasi perkara itu, Kerajaan Negeri sedia menyusun dan membuat penyesuaian pelan induk pembangunan bagi menggalakkan pelaburan asing dan domestik di negeri ini.

Usaha tersebut sekali gus membantu merealisasi sasaran pelaburan RM5 bilion setahun di negeri ini.

Menyumbang kepada kadar itu, sehingga kini terdapat 418 kilang beroperasi di Melaka dengan 165 daripadanya syarikat pelaburan asing dan 235 buah adalah syarikat pelaburan tempatan.

KERJASAMA NEGARA LUAR

Melaka bakal bekerjasama dengan Jepun, Taiwan dan China bagi mengembangkan lagi sektor perindustrian negeri ini.

Dengan jumlah pelaburan melebihi RM8.5 billion dari ketiga-tiga negara tersebut, Melaka dijangka mampu mencapai sasaran pelaburan tempatan sebanyak RM9 bilion tahun ini.

Jumlah itu termasuk perbincangan bersama dua syarikat Jepun masing-masing membabitkan jumlah pelaburan sebanyak RM441 juta dan RM50 juta selain RM3.5 bilion dan RM900 juta pelaburan daripada dua syarikat dari Taiwan.

Kerajaan negeri juga bakal mewujudkan satu kawasan perindustrian ‘Smart Industry Centre’ (SIC) di Sungai Rambai untuk menarik lebih banyak rangkaian produk industri.

Konsep SIC dipraktikkan dari Jepun bakal menyokong lapan industri sokongan termasuk pembuatan dan pembungkusan yang akan dimulakan syarikat Konica Minolta di kawasan berkenaan.

Difahamkan kerjasama tersebut dijangka menambah lebih 3,000 peluang pekerjaan di negeri ini.

PELABUR TEMPATAN TURUT BERMINAT

Sekurang-kurangnya 20 pelabur tempatan mempunyai hartanah di Melaka berminat membangunkan semula tanah mereka yang terbiar di negeri ini.

Langkah terbabit dilihat bertepatan dengan keadaan semasa di Melaka yang memerlukan pelbagai pembangunan bagi merancakkan lagi sektor pelaburan.

Hasil perbincangan dengan pelabur terbabit, beberapa pandangan diambil perhatian untuk memastikan hasrat mereka direalisasikan.

Adly yakin langkah diambil menjadi usaha terbaik membangunkan lagi sektor ekonomi di negeri ini.

“Hasil perbincangan sedang diteliti, termasuk bentuk projek yang dibangunkan kelak, sama ada sesuai atau sebaliknya,” katanya.

PELABURAN TUJUH SEKTOR

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meluluskan pelaburan bernilai kira-kira RM1 bilion dalam tujuh sektor di Melaka bagi tempoh Januari hingga September 2018.

Tujuh sektor pelaburan tersebut dari syarikat asing dan tempatan meliputi perubatan, makanan, elektronik, petroleum, pengangkutan, pembuatan logam dan mineral bukan metalik.

Sebagai contoh, kerajaan negeri menyokong dan membantu usaha Syarikat Xinyi Energy Smart (M) Sdn. Bhd. (Xinyi) untuk mempunyai pelabuhan sendiri di negeri ini supaya proses import dan eksport syarikat itu berjalan dengan lancar.

Pelabuhan berkenaan dijangka memberikan kesan baik secara tidak langsung menerusi pelaburan Xinyi di negeri ini.

Setakat Disember 2018, Xinyi telah menyediakan 1,200 peluang pekerjaan menerusi operasi kilangnya di Elkay Industrial Park Lipat Kajang, Jasin sejak 2015 melibatkan pelaburan berjumlah RM2.7billion.

TAWAR INSENTIF DISKAUN

Kerajaan negeri menawarkan insentif diskaun berbentuk utiliti bagi menarik pelaburan baharu bagi mencapai sasaran pelaburan RM5billion sepanjang tahun ini.

Exco Pelaburan dan Perindustrian Negeri, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen berkata, insentif yang melibatkan tarif air dan elektrik serta cukai tanah itu bagaimanapun bergantung kepada nilai pelaburan pelabur berkenaan yang melebihi RM1 bilion.

Ia antara usaha dilakukan untuk menambah nilai pelaburan dengan menggalakkan kedatangan pelabur berskala besar yang berminat dalam pelbagai sektor terutama industri pembuatan tahun ini.

“Kita memberi diskaun tarif air dan kita juga sedia menimbangkan pengurangan cukai tanah dalam kadar tertentu.

“Insentif seumpama itu pernah diberikan kepada sebuah syarikat pembuatan panel solar yang beroperasi di Cheng dan kita mendapat reaksi positif dalam kalangan pelabur,” katanya.

TARIK PELABURAN TAMBAHAN

Kerajaan Melaka berjaya membawa masuk nilai pelaburan tambahan kira-kira RM31.5 juta dalam tempoh tiga bulan bermula November hingga Februari 2019.

Jumlah itu membabitkan sektor pembuatan dari syarikat sedia ada seperti syarikat di Bukit Rambai, dengan nilai RM3.85 juta dan syarikat komponen kenderaan di Alor Gajah dengan nilai pelaburan RM22 juta.

Pada masa sama Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) turut menjadi pemangkin agensi pelaburan penting untuk bertemu syarikat pelaburan yang berpotensi setiap minggu selain membantu meminimumkan tempoh syarikat pelaburan membuat keputusan.

BANGUNKAN HOSPITAL SWASTA

Sebuah hospital swasta berteknologi tinggi dan berintegrasi akan dibangunkan di Melaka dengan nilai pelaburan berjumlah kira-kira RM1.6 bilion menerusi pelaburan syarikat swasta dari Korea Selatan.

Rancangan itu dipersetujui syarikat berkenaan dan lawatan susulan diadakan bagi meninjau kawasan atau lokasi strategik pembinaan pusat perubatan itu.

Turut dibangunkan tempat penginapan keluarga atau pesakit yang mahu mendapatkan rawatan serta pembinaan pusat membeli belah dalam satu kompleks atau bangunan sama.

Projek tersebut dirancang selepas lawatan kerja Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen ke Korea Selatan November tahun lalu.

Kerajaan negeri menerima kesan positif apabila syarikat terkemuka di negara itu yang mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan menyatakan minat melabur di Melaka.

Ia bakal memberi manfaat kepada rakyat dalam pelbagai aspek termasuk ekonomi serta kira-kira 1,000 peluang pekerjaan khususnya dalam bidang perubatan, perhotelan dan perniagaan kepada rakyat negeri ini.

CATEGORIES
TAGS