Pantau projek tambak laut elak kepupusan penyu karah

Pantau projek tambak laut elak kepupusan penyu karah

Selamatkan penyu karah!

PADANG KEMUNTING, 27 Sept. – Kerajaan Negeri Melaka akan memantau segala aktiviti dan projek penambakan laut bagi memastikan ia tidak menjejaskan populasi penyu karah yang popular di negeri ini.

Menurut Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani Negeri, Norhizam Hassan Baktee, pemantauan ini amat penting memandangkan penyu karah merupakan spesies yang cukup ikonik dengan negeri ini khususnya di kawasan Padang Kemunting, Melaka.

Jelasnya, disebabkan spesies penyu ini kian diancam kepupusan, pihaknya bersama Jabatan Perikanan Negeri Melaka dan wakil badan bukan kerajaan (NGO) lain akan terus menggembeleng tenaga memastikan sebarang ancaman terhadap spesies penyu karah dapat dikurangkan.

“Kerajaan negeri amat menitikberatkan aktiviti konservasi dan pemeliharaan alam sekitar terutamanya untuk spesies-spesies penyu yang naik bertelur di sepanjang pantai negeri Melaka terutamanya di kawasan Alor Gajah dan Pulau Upeh.

“Disebabkan aktiviti-aktiviti projek penambakan laut dan perlombongan pasir yang sedang pesat membangun berhampiran Pulau Upeh dan Kuala Linggi, kita akan memantau secara menyeluruh projek ini.

“Ini kerana kita perlu memastikan kesan penambakan laut tidak akan merosakkan ekosistem dan alam sekitar sehingga ia menjejaskan pendaratan penyu karah yang selama ini mendarat dengan purata 400 hingga 500 sarang setahun di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Galeri Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Padang Kemunting, Alor Gajah petang semalam.

Hadir sama ialah wakil Pengarah Perikanan Negeri Melaka, Doreen Wee Siew Leen dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Halim Bachik.

Menurut Norhizam, kewujudan galeri terbaharu berkaitan penyu karah ini mampu menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

“Saya percaya galeri ini mampu memberikan perjalanan baharu kepada sektor pelancongan negeri Melaka.

“Dengan promosi secara meluas dan pakej pelancongan terbaik, saya yakin ia akan menarik lebih ramai pengunjung dalam dan luar negara ke Padang Kemunting.

“Pada masa sama, galeri ini juga dapat memberi kesedaran meluas kepada pengunjung mengenai pentingnya program konservasi dan pemuliharaan alam sekitar terutama membabitkan penyu,” ujarnya.

Di majlis sama, Norhizam turut merasmikan buku terbaharu Penyu Karah Khazanah Laut Negeri Melaka yang ditulis oleh Rosmawati Ghazali dan Siti Norjannah Johari.

Selesai upacara perasmian, Norhizam dibawa ke pesisir Pantai Padang Kemunting untuk menanam Pokok Merambong yang merupakan pokok mesra penyu memandangkan ia dapat mengelakkan hakisan pantai, selain bertindak sebagai penghadang lampu jalan yang akan menakutkan penyu karah untuk bertelur di pesisir pantai negeri ini.

Acara menanam Pokok Merambong ini telah dianjurkan sendiri oleh Jabatan Perikanan Negeri Melaka dengan kerjasama Syarikat Sunpower Malaysia.

Selepas itu, Norhizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu telah dibawa untuk melepaskan spesies penyu agar yang sudah berusia 9 tahun di Pantai Padang Kemunting.

Oleh MOHAMAD FAZRUL ABDUL MAJID

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS