Orang Kaya Marhum Berdiri pejuang sejati

Orang Kaya Marhum Berdiri pejuang sejati

PERANG Naning 1832 merupakan perang yang mencerminkan sifat kepahlawanan dalam kalangan orang Melayu.

Selain Datuk Dol Said, perang Naning memperlihatkan ramai tokoh pahlawan yang sanggup berjuang demi mempertahankan bangsa dan agama.

Menurut Pengkaji Sejarah Universiti Malaya (UM), Luqman NulHakim Harzamar, antara nama pahlawan yang menjadi lagenda dalam masyarakat Naning terutama di kawasan pekan Alor Gajah adalah Orang Kaya ‘Mati Berdiri’.

“Walaupun tidak terkenal seperti Allahyarham Datuk Dol Said namun namanya sering diceritakan dalam kalangan penduduk.

“Orang Kaya Mati Berdiri atau nama sebenarnya Orang Kaya Besar Datuk Aji (Marhum Berdiri gelaran selepas beliau meninggal dalam keadaan berdiri) merupakan seorang pembesar Tiang Balai Naning dari suku Anak Melaka Paya, merupakan Penghulu besar di kawasan Alor Gajah.

“Beliau mempunyai seorang anak yang bernama Orang Kaya Andika Raja Datuk Mat Sah yang merupakan Penghulu Demang di wilayah Naning selepas perang Naning 1832,” katanya kepada MelakaKini.

Lagenda Orang Kaya Mati Berdiri bermula semasa Perang Naning 1832, apabila Orang Kaya Besar Datuk Aji bermati-matian mempertahankan tanah air daripada dijajah Inggeris.

“Menurut cerita orang tua-tua, selepas Inggeris mengetahui kelemahan Naning, maka ketika itu gugurlah seorang demi seorang pejuang Naning sehinggalah kubu di kawasan pekan Alor Gajah berjaya ditembusi Inggeris.

“Melihat keadaan itu maka Datuk Aji bermati-matian menentang askar-askar Inggeris yang terdiri daripada askar gujerat.

“Ketika inilah askar Inggeris bertalu-talu menembak Datuk Aji kerana beliau menghalang kemaraan tentera Inggeris daripada menyerang Taboh Naning,” katanya.

Tambah Luqman, Datuk Aji nekad mempertahankan kubunya dan menyebabkan askar Inggeris mula menjadikannya sasaran penyerangan.

“Tembakan demi tembakan menghujani tubuhnya namun beliau terus melibas pedangnya sehingga patah lalu mengeluarkan kerisnya untuk terus membunuh musuh.

“Luka tembakan menyebabkan darah beliau keluar mencurah-curah tanpa berhenti namun Datuk Aji tidak mempedulikan tembakan-tembakan kerana di depan matanya ia telah terlihat Syurga Allah.

“Selepas lama bertarung akhirnya Datuk Aji meninggal dunia dalam keadaan berdiri sambil membuka kuda-kuda silat dengan tangannya menjulang keris dan matanya kelihatan putih. Janggut dan rambutnya yang putih kelihatan keperangan akibat terendam dek darahnya daripada luka-luka libasan pedang dan tembakan,” katanya.

Ketika itulah beliau syahid dalam keadaan berdiri memperjuangkan agama dan bangsa.

Luqman berkata, setelah diperiksa, kematian Datuk Aji bukanlah kerana tembakan tetapi disebabkan darahnya telah kering di badan.

“Tidak setitis pun darah tinggal ditubuh arwah, semuanya habis demi memperjuangkan agama Allah S.W.T. Berdasarkan peristiwa ini maka wujudlah bidalan orang tua-tua iaitu ‘berjuang sehingga titisan darah yang terakhir.’

“Dikhabarkan daripada orang tua-tua juga, ketika jenazahnya hendak diusung dibawa pulang ke rumah, buluh yang mengusungnya patah kerana beratnya jenazah itu.

“Apabila diteliti oleh keluarganya, terdapat banyak peluru-peluru tertanam sehinggakan tubuh arwah menjadi berat.

“Ketika itu mereka membantu mencungkil keluar peluru-peluru yang tertanam di tubuhnya. Selepas mengeluarkan seluruh peluru di badan maka didapati peluru itu memenuhi satu batil besar. Bayangkanlah betapa seksanya beliau menahan kesakitan daripada hujan peluru-peluru penjajah,” katanya.

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS