Ops Catut 6.0 pantau harga barang naik seiring Program Subsidi Petrol

Ops Catut 6.0 pantau harga barang naik seiring Program Subsidi Petrol

Banteras terus mereka yang suka manipulasi harga ni...

AYER KEROH 3 Dis.- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil langkah proaktif dengan melancarkan Penguatkuasaan Ops Catut 6.0 berikutan dasar Pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP) yang bakal dilaksana bermula Januari tahun hadapan.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, Ops Catut 6.0 PSP itu akan dilaksanakan selama tujuh bulan bermula dari 1 Disember 2019 hingga 30 Jun 2020.

Katanya, Ops Catut 6.0 itu akan melalui tiga fasa melibatkan pengilang, pemasaran am, pengedar, pemborong, dan peruncit di seluruh negara.

“Program tersebut dijalankan bagi menangani aktiviti pencatutan dan manipulasi harga susulan pelaksanaan dasar baharu kerajaan.

“Tujuan utama Ops Catut 6.0 ini sendiri bagi mengekang kenaikan harga yang tidak munasabah sekali gus bagi memastikan peniaga di semua peringkat tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan berikutan kenaikan harga petrol yang akan dilaksanakan kerajaan bermula awal tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Tindakan Penguatkuasaan Pencatutan Ops Catut 6.0 (PSP) yang telah bermula semalam di Kilang Mamee Double Decker (M) Berhad di sini, semalam.

Jelasnya, perlaksanaan bagi Fasa pertama akan melibatkan serahan notis pengesahan maklumat barangan atau perkhidmatan di bawah Seksyen 21 (2) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 bermula 1 hingga 31 Disember ini.

Manakala, bagi Fasa Kedua akan bermula 1 Januari hingga 31 Mei 2020, bertujuan memantau dan mengenalpasti berkenaan kenaikan harga barang.

Katanya, bagi Fasa Ketiga untuk tempoh dari 1 hingga 30 Jun 2020, kementeriannya akan menyediakan pencapaian keseluruhan Ops Catut 6.0 (PSP).

“Kesemua penguatkuasaan ini ambil kira enam kategori barangan termasuk makanan, minuman, isi rumah, tekstil, perabot, kasut dan barangan,” tambahnya.

CATEGORIES