Normariana johan pidato kenegaraan

Normariana johan pidato kenegaraan

Melentur buluh biarlah dari rebungnya.

MASJID TANAH 24 April – Normariana Ab Rahman,36, dinobat johan Pertandingan Pidato Kenegaraan Peringkat Negeri Melaka 2019, baru-baru ini.

Normariana, sekali gus menewaskan lapan peserta lain dan membawa pulang wang tunai RM1,500, trofi beserta sijil penyertaan.

Kejayaan itu, sekali gus melayakkannya mewakili Negeri Melaka ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Negeri Kedah.

Katanya, pengorbanan menyertai pertandingan itu amat besar lebih-lebih lagi dia sedang berbadan dua.

“Semua peserta memang hebat, saya tak sangka dengan kejayaan ini, saya diberi tanggungjawab mewakili Melaka ke peringkat kebangsaan nanti.

“Terima kasih pada Jabatan Penerangan Melaka yang memberi sokongan kepada para peserta dan pertandingan ini.

“Pertandingan ini penting dalam meningkatkan pengetahuan anak muda mengenai semangat patriotik, dasar kerajaan selain menambah keyakinan diri,” katanya.

Normariana berkata demikian pada pertandingan tersebut di Auditorium Ibn Khaldun Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penerangan Melaka, Mohd Rizal Hashim berkata, penganjuran itu membuktikan kesungguhan jabatannya bagi mencungkil bakat berpidato dalam kalangan masyarakat.

“Melalui pertandingan ini, kita dapat menanam keyakinan dan jati diri yang tinggi serta kepetahan berpidato.

“Diharap rakyat Malaysia terutama golongan belia dapat menyumbang kepada pembentukan sebuah negara yang kukuh dalam nilai agama, selain mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.

Pada pertandingan itu, naib johan dirangkul Murni Annisa Izzatul Mohd Zailani dan ketiga, Jameah Mohd Salleh masing-masing membawa pulang wang tunai RM1,000 dan RM500 beserta trofi dan sijil penyertaan.

CATEGORIES
TAGS