Nasib tiga beranak tinggal dalam khemah dapat perhatian

Nasib tiga beranak tinggal dalam khemah dapat perhatian

Semoga keluarga ini dikurniakan limpahan rezeki...

KUALA LINGGI 7 Nov. – Nasib seorang bapa tunggal dan dua anak lelakinya yang sebelum ini terpaksa tidur beralaskan lantai pondok dan berbumbungkan khemah di Kampung Telok Gong, di sini, telah mendapat perhatian daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Kuala Linggi.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Amran Othman berkata, selepas berita mengenai tiga beranak yang disiarkan sebuah akhbar tempatan menjadi tular semalam, pihaknya segera mengadakan lawatan ke tempat terbabit bersama-sama Ahli Majlis Perbandaran Alor gajah (MPAG) dan Sukarelawan Kebajikan Masjid Tanah, malam tadi.

Jelasnya, ketika lawatan, bapa berkenaan masih belum pulang dari menangkap ikan di laut dan hanya ada dua anaknya yang sedang tidur di pangkin sambil dijaga oleh beberapa pemuda yang merupakan kawan kepada bapa tunggal itu.

“Kita difahamkan tiga beranak ini sudah mula hidup berpindah-randah di satu pondok ke satu pondok selepas Hari Raya Aidilfitri lalu. Namun, dia tidak pernah meminta bantuan daripada mana-mana pihak kerana mempunyai beberapa rakan yang boleh menjaga anaknya ketika dia turun ke laut.

“Namun, baru-baru ini, apabila rakannya sudah mula bekerja dan tidak dapat menjaga anaknya, barulah dia datang ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana risau tentang nasib dua anaknya yang tidak bersekolah itu.

AMRAN (empat dari kanan), Ali Majlis MPAG, Julasapiah Kassim (tiga dari kanan) ketika melawat tiga beranak itu baru-baru ini.

“Dari situlah, berita tentang kepayahan mereka tersebar dan mendapat perhatian beberapa pihak,” katanya.

Tambah Amran, bapa tunggal berkenaan yang bernama Muhammad Azri Abdullah, bagaimanapun terpaksa hidup tanpa sebarang pengenalan diri yang sah kerana telah kehilangan sijil beranaknya sejak kecil lagi.

Malah, kedua-dua anaknya yang berusia lima tahun itu juga tidak mempunyai MyKid kerana ia dipegang oleh bekas isterinya yang dikatakan pulang ke Indonesia.

“Kita dimaklumkan ada suatu ketika seorang anaknya mengalami demam panas, namun tidak dapat ke klinik dan hospital kerajaan kerana tiada kad pengenalan.

“Oleh sebab itu, beliau hanya boleh membeli ubat di farmasi sahaja dan mujurlah tiada sebarang perkara tidak diingini berlaku

“Tetapi, dikhabarkan bapa terbabit tahu di mana lokasi bekas isterinya dan dalam usaha untuk mendapatkan kembali MyKid kedua-dua anaknya itu,” ujarnya.

Ketika lawatan itu, Amran dan beberapa pihak lagi turut menyampaikan sumbangan kepada bapa tunggal berkenaan.

Menurutnya lagi, perkara ini akan segera dibawa ke perhatian pihak berwajib untulk bantuan segera terutama memikirkan tentang kehidupan dua anak yang masih kecil itu.

“Kita sudah jelaskan dan mencadangkan kepada bapa berkenaan untuk bawa anaknya ke pusat kebajikan dan dia juga sudah bersetuju kerana dia sedar tidak mampu menyediakan rumah untuk anak-anaknya.

“Jadi sekarang, kita akan tunggu makluman daripada JKM mengenai bentuk bantuan yang akan diberikan pada kadar segera,” katanya.

CATEGORIES
TAGS