Muzium ‘bawah RM6’ yang wajib anda lawati di Melaka ..No. 1 & 5 tu memang ‘legend’!

Muzium ‘bawah RM6’ yang wajib anda lawati di Melaka ..No. 1 & 5 tu memang ‘legend’!

Rugi kalau tak pergi... Nak cuti sekolah ni, marilahhhh...

Foto: PERZIM / Sumber Internet

 

MELAKA sememangnya sudah terkenal sebagai antara lokasi tinggalan sejarah dan turut diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. Oleh sebab negeri ini terkenal sebagai lokasi pelancongan sejarah, terdapat banyak muzium yang dibina dan boleh dilawati oleh pengunjung. Sehingga sekarang sahaja, difahamkan terdapat lebih 20 muzium yang ada di Melaka dan itu menjadikannya sebagai antara negeri yang mempunyai paling banyak muzium di Malaysia. Berikut, MelakaKini kongsikan antara 8 muzium dengan kadar bayaran bawah RM6 yang wajib dilawati, tidak kiralah oleh pengunjung luar, mahupun rakyat negeri ini sendiri.

 

 

MUZIUM KESULTANAN MELAYU MELAKA

1. MUZIUM KESULTANAN MELAYU MELAKA

Muzium ini memang sudah terkenal sejak dahulu lagi. Ia dikatakan dibina berdasarkan struktur sebenar Istana Melaka pada kurun ke-15 iaitu pada era pemerintahan Sultan Mansur Shah.

Dengan reka bentuknya yang unik, muzium ini sering menjadi pilihan orang ramai terutamanya rombongan dari sekolah untuk melawat dan mempelajari serba sedikit mengenai sejarah Kesultanan Melayu Melaka.

Bagi yang mahu ke sini, anda tidak perlu risau. Lokasinya terletak betul-betul berhampiran dengan Kota A’Famosa dan Dataran Pahlawan dan dibuka dari jam 9 Pagi hingga 5.30 petang (tutup setiap Selasa).

Harga tiket:

– Warganegara: RM6.00 (Dewasa) & RM3.00 (Kanak-kanak)
– Bukan Warganegara: RM12.00 (Dewasa) & RM6.00 (Kanak-kanak)

 

MUZIUM SETEM MELAKA

2. MUZIUM SETEM MELAKA

Muzium Setem Melaka antara satu lagi muzium unik yang ada di negeri ini. Muzium ini ditubuhkan hasil inisiatif kerajaan negeri Melaka dengan kerjasama Pos Malaysia Berhad

Ia mula dibuka pada tahun 2007 di bangunan lama Muzium Melaka bagi mempamerkan setem-setem terawal di Malaysia dan luar negara sehingga yang terkini.

Muzium yang terletak di Banda Hilir dan terletak berhampiran Mahkota Parade dan kubu A’FAmosa ini dibuka setiap hari dari jam 9 Pagi hingga 5.30 petang.

Harga Tiket:

– Warganegara: RM3.00 (Dewasa) & RM2.00 (Kanak-kanak)
– Bukan Warganegara: RM5.00 (Dewasa) & RM3.00 (Kanak-kanak)

 

MUZIUM KAPAL SELAM

3. MUZIUM KAPAL SELAM

Daripada kapal selam sebenar kini jadi muzium! Ya, ia merupakan satu-satunya muzium seumpama yang ada di Malaysia.

Muzium ini dibina daripada kapal selam FS Ouessant Agosta 70 yang merupakan kapal selam latihan krew-krew Kelas Perdana Menteri Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 2005-2009.

Kapal selam ini telah dibawa pulang ke tanah air oleh Kementerian Pertahanan Malaysia dan diserahkan kepada kerajaan Melaka untuk diabadikan sebagai muzium.

Bagi yang mahu ke sini, ia terletak di Kompleks Muzium Maritim, Pantai Berlian, Klebang dan berhampiran dengan Dataran Klebang. Ia dibuka dari jam 9 pagi hingga 5 petang (Isnin – Khamis) dan 9.30 pagi hingga 6.30 petang (Jumaat-Ahad)

Harga tiket:

– Warganegara: RM6.00 (Dewasa) & RM3.00 (Kanak-kanak)
– Bukan Warganegara: RM12.00 (Dewasa) & RM6.00 (Kanak-kanak)

 

MUZIUM SEJARAH DAN ETHNOGRAFI

4. MUZIUM SEJARAH DAN ETHNOGRAFI

Muzium Sejarah dan Ethnografi terletak betul-betul di Bangunan Stadthuys (atau dikenali sebagai Bangunan Merah) yang terletak di Banda Hilir.

Muzium ini dibina dengan menempatkan pelbagai bahan sejarah dan artifak berkaitan negeri Melaka bermula dari era Kesultanan Melayu Melayu Melaka sehinggalah negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Muzium ini dibuka dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 5.30 petang.

Harga tiket:

– Warganegara: RM6.00 (Dewasa) & RM3.00 (Kanak-kanak)
– Bukan Warganegara: RM12.00 (Dewasa) & RM6.00 (Kanak-kanak)

 

MUZIUM SAMUDERA

5. MUZIUM SAMUDERA

Muzium Samudera merupakan antara muzium yang cukup sinonim dengan negeri Melaka sejak dahulu lagi.

Muzium ini dibina berasaskan replika kapal Flor de La Mar yang dibina pada awal tahun 1990 dan telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 13 Jun 1994.

Muzium ini memfokuskan kepada sejarah kelautan Melaka dan zaman kegemilangan Melaka sebagai Emporium Timur, selain menyingkap pergolakan politik maritim di Melaka yang membuktikan bahawa hilangnya kuasa politik maka hilanglah segalanya.

Ia terletak di Jalan Quayside dan betul-betul di tepi Sungai Melaka dan dibuka dari jam 9 pagi hingga 5.30 petang setiap hari, kecuali Jumaat, Sabtu, Ahad ditutup pada 7 malam.

Harga tiket:

– Warganegara: RM6.00 (Dewasa) & RM3.00 (Kanak-kanak)
– Bukan Warganegara: RM12.00 (Dewasa) & RM6.00 (Kanak-kanak)

 

MUZIUM RAKYAT

6. MUZIUM RAKYAT

Muzium ini disifatkan sebagai antara yang berbaloi dilawati kerana ia menempatkan beberapa muzium dan galeri dalam satu bangunan.

Di aras bawah, bangunan ini menempatkan Muzium Rakyat yang memberi fokus kepada pembangunan yang telah dilaksanakan untuk kemudahan rakyat dan kejayaan yang dikecapi negeri Melaka.

Di aras satu pula menempatkan permainan tradisional yang semakin dilupakan seperti wau, layang-layang dan gasing, manakala aras dua pula merupakan muzium kecantikan yang memberi penekanan terhadap budaya masyarakat di seluruh dunia mencipta kecantikan kepada tubuh badan manusia.

Muzium ini terletak di Banda Hilir dan berhampiran dengan Muzium Setem. Ia dibuka dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

Harga tiket:

– Warganegara: RM5.00 (Dewasa) & RM3.00 (Kanak-kanak)
– Bukan Warganegara: RM10.00 (Dewasa) & RM5.00 (Kanak-kanak)

 

MUZIUM HANG TUAH

7. MUZIUM HANG TUAH

Muzium ini berada dalam kawasan Perkampungan Hang Tuah di Kampung Duyong yang telah dibina pada 2013.

Antara keunikan muzium ini ialah ia menempatkan rumah lima pembesar iaitu rumah Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi Hang Lekir dan Hang Lekiu iaitu di dalam satu kawasan di Hang Tuah Centre (HTC), selain turut menempatkan rumah-rumah Melayu tradisional, Balai Adat dan Pusat Tenun Melaka.

Muzium ini dibuka setiap hari dari jam 9.30 pagi hingga 5 petang.

Harga tiket:

– Warganegara: RM5.00 (Dewasa) & RM3.00 (Kanak-kanak)
– Bukan Warganegara: RM10.00 (Dewasa) & RM5.00 (Kanak-kanak)

 

MUZIUM CHETTI

8. MUZIUM CHETTI

Tidak ramai mengetahui tentang kaum Chetti, iaitu masyarakat India Peranakan. Tetapi di Melaka terdapat satu kampung yang dipanggil Perkampungan Chetti yang terletak di Jalan Gajah Behrang.

Dari situ, maka lahirnya Muzium Chetti yang ditubuhkan untuk menceritakan tentang salur-galur masyarakat ini pelbagai budaya mereka dalam satu tempat.

Muzium ini dibuka pada jam 9 pagi hingga 5.30 petang, setiap hari.

Harga tiket:

– Warganegara: RM3.00 (Dewasa) & RM2.00 (Kanak-kanak)
– Bukan Warganegara: RM5.00 (Dewasa) & RM3.00 (Kanak-kanak)

CATEGORIES
TAGS