MUSA: Penaja mula lunas hutang

MUSA: Penaja mula lunas hutang

Harap permainan semakin baik jika gaji telah dilunaskan

 

BEBERAPA penaja dilapor telah melunaskan hutang kepada Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) berhubung tunggakan gaji kepada pemain Melaka United (MU).

Menurut Presidennya, Adly Zahari, pihaknya memandang serius perkara berkenaan dan memberi jaminan ia tetap menjadi keutamaan MUSA.

“Sebahagian penaja telah pun menyelesaikan (bayaran) yang mana kita kemudiannya membayar secara terus (kepada pemain).

“Kita akan cuba sedaya upaya menyelesaikan isu gaji itu sepertimana yang dijanjikan, jumlahnya bukan kecil, itu janji kita,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Baru-baru ini, Adly yang juga Ketua Menteri memaklumkan tunggakan gaji pada Julai lalu dan memberi jaminan untuk menyelesaikan tunggakan berjumlah hampir RM3juta selewatnya Ogos ini.

Mengulas lanjut, Adly berkata, MUSA akan berterusan mengadakan perbincangan bersama penaja untuk melunaskan janji tajaan musim ini.

“Gaji banyak bergantung pada penaja, penaja pula memerlukan masa untuk menyelesaikan,” katanya.

Masalah tajaan gaji pemain MU kecoh di media sosial baru-baru ini selepas sumber pemain mendedahkan belum menerima gaji sejak Aidilfitri lalu.

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS