Mudaratnya e-Rokok

Mudaratnya e-Rokok

Fuh bahaya...

TIDAK dinafikan di luar sana menawarkan ratusan perisa yang pastinya memberikan kepuasan kepada si perokok untuk melepaskan nafsunya.

Malah, pelbagai jenama perisa telah dikeluarkan sehinggakan rata-rata artis dan figura terkenal sanggup meletakkan nama mereka sebagai jenama demi menarik lebih ramai peminat membelinya.

Bahan utama yang diletakkan di dalam perisa adalah nikotin yang semestinya mendatangkan ketagihan pada masa lampau sekiranya tabiat merokok ini tidak dihentikan.

Berdasarkan kajian dari Sekolah Kesihatan Awam Bloomberg mendapati terdapat kandungan arsenik, kromium, manganese dan nickel yang begitu tinggi dihasilkan dari perisa tersebut dan boleh menjadi penyebab kepada punca pelbagai penyakit.

 

KAWALAN PENGGUNAAN E-CIGARETTE

Langkah drastik kerajaan dalam memperhalusi perkara ini sedang giat dijalankan bagi menangani masalah yang mendatangkan kesan kepada seluruh masyarakat ini.

Baru-baru ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di dalam fasa akhir terhadap penelitian bagi menggubal akta penggunaan tembakau, vape, rokok elektronik dan shisha.

Menterinya, Dr. Dzulkefly Ahmad mengatakan akta berkenaan akan dibentangkan pada Parlimen malah akta yang dikenakan itu disifatkan lebih menyeluruh mampu mengatasi isu ini.

Melalui usaha itu, KKM kini di peringkat hujung bagi berbincang bersama Peguam Negara dan ianya akan dibentangkan pada suku pertama tahun iaitu kira-kira Mac tahun hadapan.

“Ini akan menjadi satu Akta yang akan merangkumi bukan sahaja untuk vaper, tetapi juga untuk yang lain umpama e-rokok, vape dan banyak sisi-sisi dan hal yang berkaitan dengan nikotin dan rokok,” katanya.

 

SELAMAT DATANG KEMATIAN

Penggunaan vape mahupun rokok elektronik ini mendatangkan pelbagai kesan kepada kesihatan khususnya terdedah kepada komplikasi jantung, barah serta masalah paru-paru.

Di Amerika Syarikat (AS), pengguna rokok elektronik lebih terdedah kepada risiko kesihatan di mana sebanyak 450 kes dilaporkan melibatkan penyakit paru-paru dan enam kematian di 33 negeri di negara tersebut.

Penyiasat kesihatan di AS sedang berusaha untuk mengenal pasti punca kematian melibatkan rokok elektronik sama ada penggunaan toksin atau penggunaan bahan terlarang yang tidak sepatutnya.

Rentetan itu, kerajaan negara tersebut terus mengharamkan sebarang import penghasilan dan penjualan alat peranti itu ke negaranya.

Berikutan itu, India pula mengambil langkah sama selepas Amerika Syarikat mengharamkan penggunaan peranti itu.

Menteri Kewangannya, Nirmala Sitharaman mengumumkan perkara tersebut selepas New York menjadi negeri kedua di Amerika Syarikat yang melakukan tindakan sama.

Menurutnya, keputusan tersebut diambil setelah meneliti kesan rokok elektronik kepada generasi muda kini dan mengambil contoh dari New York yang terkesan dengan melibatkan tujuh kematian berpunca dari rokok elektronik tersebut.

“India mempunyai lebih dari 100 juta perokok tegar dan impak rokok elektronik ini dilihat mampu membuka pasaran besar di negara itu.

India merupakan negara kedua terbesar dalam penggunaan nikotin selepas China dan lebih daripada 900,000 kematian melibatkan penyakit berkaitan nikotin dilaporkan di negara terbabit.

Menurut laporan dari Organisasi Kesihatan Dunia (WHO), lebih dari 1 bilion jumlah populasi dunia, hanya sedikit pengurangan perokok dilaporkan tetapi terdapat peningkatan terhadap pengguna rokok elektronik.

“Peningkatan perokok elektronik meningkat mendadak daripada 7 juta pada 2011 kepada 41 juta pada 2018,” menurut laporan itu.

Penggunaan peranti ini bukan sahaja mendatangkan kesan kepada kesihatan malah pernah beberapa kes kecederaan berlaku khususnya letupan vape dialami pemiliknya.

Kes yang berlaku di Gopeng beberapa tahun lalu mengakibatkan seorang pemuda terpaksa menerima enam jahitan di bibir apabila peranti itu tiba-tiba meletup ketika hendak disedut.

Kes yang sama juga turut berlaku awal bulan lalu apabila seorang lelaki nyaris mati tatkala rokok elektronik berkenaan meletup di dalam poket seluarnya.

Lelaki dikenali Bob Allshop berkata kejadian yang berlaku di negaranya, Amerika Syarikat baru baru ini mengakibatkan seluruh kaki kanannya mengalami luka kebakaran tahap tiga.

“Bunyinya seperti orang membuka penutup minuman. Saya pandang bawah dan lihat seluruh paha saya sedang terbakar.

“Saya terbakar kira-kira 30 saat. Apabila pulang ke rumah saya terpaksa mengoyakkan seluar dipakai dan membuangnya keluar kerana masih berbara,” katanya.

Perkara ini sudah jelas bahawa kita sengaja menjeratkan diri kepada kesusahan yang membawa kesan kepada diri sendiri dan orang lain.

Perlaksanaan dalam kesedaran pengguna perlu dititikberatkan di negara ini, bagaimanapun sudahkah kita bersedia menangkis gejala ini?.

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES