Motosikal penyanyi ‘terbang’ 50 meter akibat puting beliung

Motosikal penyanyi ‘terbang’ 50 meter akibat puting beliung

Harap penyanyi, Joyfinas tabah hadapi dugaan

KAMPUNG PINANG 30 Sept. – Pelik tapi benar. Itu yang dapat disimpulkan mengenai satu kejadian yang berlaku di Kampung Pinang selepas ia dilanda ribut dipercayai puting beliung, baru-baru ini.

Kejadian terjadi apabila sebuah motosikal yang diletakkan di halaman rumah tiba-tiba hilang dan didapati ‘terbang’ sejauh kira-kira 50 meter selepas insiden ribut berkenaan.

Bercerita tentang apa yang berlaku, penyanyi terbabit, Mohd Radzuan Ab Aziz, 33, atau dikenali sebagai Joyfinas berkata, ketika keluar rumah kira-kira jam 7 pagi (selepas ribut) dia terkejut apabila melihat keadaan luar rumah yang berserakan dengan serpihan genting sebelum mendapati motosikal yang diletakkan di tepi rumah hilang.

“Memang terperanjat bila tengok motor dah tak ada di tepi rumah. Yang lebih memeranjatkan ialah bila saya dan anak menemui motor itu ada berhampiran kawasan sawah padi dan hampir memasuki kawasan sawah itu.

“Memang ganjil kerana ia tak pernah berlaku sebelum ini dan kami memang tidak syak ia (motosikal) cuba dicuri, sebaliknya ia mungkin berlaku disebabkan kejadian puting beliung yang melanda beberapa rumah di kampung ini,” katanya ketika ditemui MelakaKini.

Selain kejadian membabitkan motosikalnya, Mohd. Radzuan difahamkan terdapat juga reban dan binatang ternakan milik jiran-jirannya hilang akibat kejadian itu.

Namun, dia bersyukur tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku akibat daripada ribut berkenaan.

CATEGORIES