Monorel Melaka tarikan yang masih relevan

Monorel Melaka tarikan yang masih relevan

BANDARAYA MELAKA 28 Feb. – Kemudahan perkhidmatan Monorel Melaka sejak ia kembali beroperasi pada 4 Disember 2017 lalu dilihat masih relevan dan perlu dikekalkan agar dapat dijadikan tarikan baharu pelancongan di negeri ini.

Malah, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Monorail Theme Park and Studios, Lim Boon Peng, sejak pengoperasian semula dan sehingga kini, pihaknya menerima 33,000 pengunjung dalam dan luar negara.

Katanya, pihaknya yakin dengan usaha yang berterusan disamping meletakkan budaya penyeliaan berkualiti, iai mampu menjadi
produk pelancongan utama negeri itu dan dapat menarik lebih ramai pelancong bersempena Tahun Melawat Melaka (TMM2019).

Tinjauan mendapati, lokasi pelancongan tersebut tetap mendapat sambutan pelancong biarpun pada hari biasa, namun turut difahamkan kunjungan akan bertambah sehingga dua kali ganda pada hujung minggu dan cuti umum.

Sementara itu, pemandu monorel, Afnizar Mokhtar, 37, yang mula bekerja sejak Disember 2017 mengakui aspek penyeliaan operasi monorel sudah banyak diperbaiki demi keselesaan dan keselamatan pengunjung.

“Apa yang lebih penting sekali adalah aspek penyeliaan operasi monorel ini. Saya rasa tiada timbul isu keselamatan setakat ini kerana ia sentiasa diperbaiki dari masa ke semasa.

“Monorel yang baharu ini turut dilengkapi pintu keselamatan, rail yang sudah ditambah baik, ‘emergency car’, televisyen litar tertutup (CCTV) mahupun panggilan interkom kecemasan. Alhamdulillah semua berjalan lancar,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, pihak pengurusan sememangnya meletakkan aspek keselamatan penumpang sebagai perkara utama bersesuaian dengan status Melaka sebagai negeri pelancongan selamat.

Dalam pada itu, pengunjung tempatan, Mohd Hermie Zahadi, 33, berkata, dia teruja apabila dapat menyaksikan pemandangan dan keindahan bandar raya itu dari atas monorel seperti Kampung Morten dan Sungai Melaka.

“Sememangnya pengalaman yang menarik cumanya pihak monorel boleh perbaiki dari segi promosi untuk menarik lebih ramai pengunjung kerana ramai juga rakan saya tidak pasti samaada perkhidmatan monorel ini samaada masih beroperasi ataupun tidak.

“Bagi saya ia (promosi) perlu berterusan dan tarikan lain di sekitar kawasan seperti cafe, taman mainan kanak- kanak boleh diwujudkan bagi menimbulkan suasana ceria dan tidak suram buat pengunjung,” katanya.

Manakala, Rafizah Husin, 33, dari Batu Pahat, Johor berkata, perkhidmatan monorel merupakan salah satu tarikan yang perlu diketengahkan kerana ia mampu menarik pelancong dan ia seharuskan diteruskan agar bertahan lama serta tidak lagi ‘terkubur’ di tengah jalan.

Perkhidmatan Monorel Melaka beroperasi dari 10 pagi hingga 11 malam setiap Isnin-khamis dan dilanjutkan sehingga 12 tengah malam pada Jumaat, Sabtu, Ahad dan cuti umum.

Tiket boleh dibeli di kaunter di Stesen Monorel Tun Ali iberharga RM15 seorang untuk dewasa, warga emas dan kanak-kanak berusia tiga tahun ke atas RM12 manakala bagi orang kurang upaya (OKU) dan pelajar cuma RM10.

Perkhidmatan itu mampu membawa seramai 24 penumpang bagi laluan sehala dan mengambil masa kira-kira 20 minit bagi jarak perjalanan sejauh tiga kilometer.

CATEGORIES