Mesir berhasrat buka semula laluan penerbangan Kaherah-KL

Mesir berhasrat buka semula laluan penerbangan Kaherah-KL

Lepas ni dah boleh flight terus ke bumi Anbia, Mesir.

PUTRAJAYA, 24 April – Mesir bercadang untuk membuka semula laluan penerbangan Kaherah-Kuala Lumpur, kata Duta Mesir di Malaysia Gamal Abdelrehim Metwally.

Perkara itu disampaikan Gamal dalam pertemuannya dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi di sini semalam (Selasa), yang antara lain membincangkan cara melonjakkan industri pelancongan kedua-dua negara.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya hari ini mengenai pertemuan itu, Gamal menyatakan hasrat  pembukaan semula laluan bagi Malaysia Airlines dan Egypt Air itu telah menjadi sebahagian daripada pelan terbaharu pelancongan Mesir.

“Egypt Air akan melakukan penerbangan semula ke Kuala Lumpur dan Malaysia Airlines akan terbang semula ke Kaherah. Ia tidak hanya baik untuk pelancongan malah dari sudut perdagangan kedua-dua negara,” kata Gamal, yang dipetik kenyataan itu.

Mohamaddin,  dalam kenyataan itu, menyambut baik hasrat dan cadangan Mesir itu kerana ia akan melonjakkan sektor pelancongan negara.

“Dengan pembukaan semula laluan penerbangan itu nanti, negara bakal menyaksikan lebih ramai pelancong dari Timur Tengah selepas ini,” katanya.

Mohamaddin berkata beliau akan memanjangkan perbincangan tersebut kepada Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Airlines dalam masa terdekat.

– BERNAMA

CATEGORIES
TAGS