Merdeka dan perpaduan kaum umpama irama dan lagu yang tidak terpisah

Merdeka dan perpaduan kaum umpama irama dan lagu yang tidak terpisah

Mengapa mahu berpecah jika kita saling memerlukan?

TARIKH keramat 31 Ogos bakal tiba tidak lama lagi.

Saban tahun sejak 62 tahun yang lalu, rakyat Malaysia daripada pelbagai kumpulan etnik akan bersama-sama meraikan tarikh tersebut yang telah tercatat sebagai Hari Kemerdekaan negara.

Dikatakan bahawa di era awal selepas mencapai kemerdekaan, masyarakat negara ini telah mempamerkan semangat sayangkan negara yang tinggi walaupun berlainan bangsa, agama dan budaya.

Kemerdekaan negara telah menjadi ramuan mustajab dalam menyuburkan perpaduan di kalangan rakyat pada masa itu.

Namun sejarah negara yang merupakan asas kepada pembentukan peradaban bangsa kini telah semakin dilupakan khususnya di kalangan generasi muda dan ahli-ahli politik yang berkepentingan.

Maka bukanlah sesuatu yang menghairankan defisit kepercayaan antara kaum di Malaysia semakin menebal ketika ini dan berisiko untuk meletuskan sengketa yang bakal merugikan semua pihak tanpa mengira apa pun kaum mereka.

 

TOLAK EKSTREMISME OLEH SEMUA KAUM

Menjelang ketibaan 31 Ogos ini, rakyat Malaysia yang pelbagai ras, khususnya golongan muda yang tidak merasai perit-jerih zaman sebelum kemerdekaan negara, wajar untuk sama-sama berfikir kepentingan kemerdekaan yang telah dicapai dan nikmat yang telah mereka kecapi darinya.

Catatan sejarah menjadi bukti bahawa perpaduan kaum mula tersemai sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi.

Para pemimpin yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan keturunan telah bersama-sama bertungkus-lumus untuk menuntut kebebasan daripada pihak British.

Hasil permuafakatan politik antara pemimpin pelbagai kaum ketika itu telah menjadi resipi perpaduan dan integrasi rakyat berbilang kaum sehingga ke hari ini.

Oleh itu rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum dan fahaman politik wajar mempertahankan apa yang telah dicapai selama ini melalui semangat persefahaman.

Mereka perlu bersama-sama menolak segala bentuk ekstremisme yang akan memecah-belahkan negara.

 

HORMATI PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

Perlembagaan Persekutuan yang digubal oleh Suruhanjaya Reid, selepas mendapatkan pandangan pelbagai pihak berkepentingan melalui 118 pertemuan, merupakan undang-undang tertinggi yang menjadi teras panduan pemerintahan negara Malaysia yang merdeka.

Segala yang termaktub di dalamnya adalah hasil persetujuan secara tolak ansur demi kepentingan bersama dan persetujuan menghormati hak-hak orang lain yang menjadi resipi perpaduan dan integrasi rakyat berbilang kaum selama ini.

Sehubungan itu Perlembagaan negara perlu sentiasa dihormati dan dipatuhi oleh semua pihak bagi mempastikan perpaduan antara kaum yang telah terbina tidak terungkai dalam sekelip mata.

Adalah tidak bijak jika apa-apa yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan terus dipertikaikan oleh pihak-pihak seperti generasi muda yang tidak memahami semangat di sebalik kewujudannya serta pemimpin politik yang mungkin mempunyai agenda tertentu.

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin ketika berkhidmat sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-13 pernah bertitah sejarah kemerdekaan dan Perlembagaan Persekutuan perlu dijelaskan kepada golongan muda supaya mereka lebih memahami asas pembentukan negara.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga mengingatkan rakyat Malaysia bahawa kegagalan untuk menghormati Perlembagaan akan menafikan kedaulatan undang-undang.

 

DUKUNG PRINSIP RUKUN NEGARA DEMI PERPADUAN

Aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye menekankan bahawa asas yang membawa kebersamaan rakyat Malaysia adalah prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara.

Rukun Negara, katanya, adalah panduan dalam pembangunan negara dan perlu dihormati semua.

“Rukun Negara adalah visi yang dikongsi demi perpaduan negara.

“Prinsipnya perlu sentiasa didukung dan dipraktikkan kerana kita tidak boleh memandang remeh akan kestabilan, keamanan dan keharmonian yang kita capai setakat ini,” katanya sepertimana yang dilaporkan media.

Beliau berkata sikap mengambil mudah perpaduan adalah perkembangan yang tidak sihat dalam negara yang berbilang kaum, agama dan budaya seperti Malaysia.

 

SAYANGI MALAYSIAKU: MALAYSIA BERSIH

Bersempena sambutan Hari Kemerdekaan negara yang bakal tiba, amatlah wajar semua rakyat mengambil semangat daripada tema sambutan tahun ini iaitu Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih.

Malaysia adalah rumah kita, di sinilah kita telah dilahirkan dan juga mungkin ditakdirkan menghembuskan nafas terakhir.

Sayangilah rumah kita supaya suasana harmoni dan selesa yang kini nikmati kini akan terus dapat dinikmati oleh generasi pewaris yang seterusnya.

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS