Menilai kemampanan ekonomi Melaka

Menilai kemampanan ekonomi Melaka

Melaka terus diiktiraf sebagai antara paling mampan

oleh ZAIPUL ANWAR ZAINU
Ketua Pegawai Eksekutif
Institut Tun Perak

MELAKA, yang terletak kira-kira separuh perjalanan di antara Kuala Lumpur dan Singapura, mempunyai kedudukan strategik dalam peranannya untuk menyumbang kepada pengekalan kemampanan ekonomi yang boleh menjadi contoh kepada negeri lain di Malaysia.

Umum mengetahui Melaka yang terletak di sepanjang Selat Melaka, terkenal sebagai pusat bandarnya yang bersejarah dan merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO (WHS).

Ia pernah menjadi salah satu laluan perkapalan tersibuk di dunia dengan hubungan di antara dua negara terbesar dunia iaitu China dan India.

Jika Melaka boleh mengekalkan kelestarian kesan-kesan sejarah dan pada masa sama membangunkan ekonomi negerinya menjadi sebuah negeri moden dan maju, maka ia boleh menjadi contoh bukan sahaja kepada negeri lain di negara ini bahkan juga ke peringkat antarabangsa.

Bermula 2016, Melaka mengorak langkah penting ke arah merealisasikan matlamat tersebut dengan kerjasama United Nations Industrial Development Organization (UNIDO) yang merupakan sebuah pertubuhan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Hasil kerjasama ini, satu kajian terperinci bagi memastikan pertumbuhan bandar yang lebih mampan untuk Melaka dilaksanakan dan hasilnya telah dibentangkan dan sebahagiannya dilaksanakan pihak kerajaan negeri beberapa bulan lalu.

Kajian ini juga turut dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak di Melaka di antaranya ialah Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia untuk Teknologi Tinggi (MIGHT) dan Perbadanan Teknologi Hijau (Melaka Greentech) bagi membantu negeri ini mencapai tahap kemampanan bandar dan ekonomi sepertimana dicita-citakan.

Kajian dan penilaian terperinci tersebut meliputi enam dimensi kelestarian iaitu: Memperkukuhkan Kejayaan Ekonomi Melaka; Mengintegrasikan Rancangan Alam Sekitar; Mempertingkatkan Perkhidmatan dan Perumahan; Pembangunan Bandar yang Kompak, Cekap dan Harmonis; Pembangunan dan Peningkatan Mobiliti Melaka dan Pemantapan Kemampanan Fiskal Melaka.

Dari setiap dimensi di atas disediakan laporan secara terperinci dan Melaka dibandingkan tanda arasnya (benchmark) dengan bandar lain seperti Izmir (Turki), Lisbon (Portugal), Recife (Brazil) dan Singapura.

Penanda arasnya adalah berdasarkan kepada 65 petunjuk bagi menentukan kemampanan setiap bandar yang dikaji.

Daripada 65 petunjuk digunakan, ia boleh disimpulkan kepada beberapa bidang utama iaitu
Perancangan Bandar (Tadbir Urus dan Bersepadu); Kelestarian Fiskal; Bandar Ekonomi; Alam Sekitar dan Sumber Asli; Perubahan dan Ketahanan Iklim dan Inklusiviti serta Kualiti hidup.

Penyelidikan komprehensif ini menyediakan peluang untuk menilai kemampanan Melaka supaya penambahbaikan boleh dilakukan pada masa akan datang seperti yang akan dihuraikan lebih lanjut di bawah.

BIDANG-BIDANG UTAMA UNTUK PENAMBAHBAIKAN

Mengurus perubahan bandar secara mampan memerlukan integrasi yang kukuh antara pertumbuhan ekonomi, keadaan fizikal bandar, pembiayaan dan pembangunan infrastruktur, alam sekitar dan sosialnya.

Pembangunan Melaka yang terpisah-pisah sebelum ini sebenarnya telah menjejaskan produktiviti dan efisiensinya serta telah menyebabkan perbelanjaan tinggi diperlukan untuk memperbaiki infrastruktur pengangkutan awam dan lain-lain perkhidmatan berkaitan.

Ketergantungan penduduk Melaka kepada kenderaan peribadi seperti kereta dan motosikal, adalah manifestasi kepada kelemahan jaringan antara kemudahan pengangkutan awam dalam bandar dan kawasan sekitarnya ke kawasan luar bandar.

Pendekatan lebih bersepadu dengan disokongi data adalah penting bagi mencapai matlamat pembangunan Melaka lebih mampan pada masa akan datang.

DAYA SAING EKONOMI

Melaka telah menikmati kejayaan ekonomi positif beberapa tahun kebelakangan ini dengan industri pembuatan dan pelancongan mengalami pertumbuhan yang positif.

Bagaimanapun, produktiviti dan pertumbuhan dalam sektor ini adalah terhad.

Bagi memastikan kelangsungan pertumbuhan ekonomi, Melaka perlu memanfaatkan kelebihan daya saing yang ada padanya khususnya dalam:-

• Meningkatkan produktiviti pekerja
• Meningkatkan kepelbagaian produk pelancongan dan peningkatan tempoh penginapan pelancong
• Meneroka dan meningkatkan lagi sumber pelaburan dalam industri pembuatan berteknologi tinggi terutama dalam bidang pembuatan berkaitan dengan Industri 4.0.

PERANCANGAN BANDAR BERSEPADU

Kejayaan ekonomi Melaka boleh dikaitkan dengan pertumbuhan penduduk dan pengembangan kawasan bandarnya.

Namun seperti disebutkan tadi, pembangunan kawasan bandarnya adalah terpisah-pisah dan ini menimbulkan risiko kepada terbantutnya perkembangan ekonomi pada masa hadapan.

Kunci kepada pembangunan ekonomi, sosial dan alam sekitar adalah bergantung kepada perancangan bandar yang memberikan fokus kepada aspek-aspek kemanusiaan dan persekitaran bandarnya.

Adalah perlu bagi Melaka merancang untuk:-

• Mengurangkan lebihan bekalan tanah yang boleh dibangunkan dan memberi insentif kepada pembangunan yang lebih mampan, berkepadatan tinggi dan pembangunan bercampur (mixed-use development).
• Menyelaraskan penggunaan tanah dan perancangan pengangkutan secara beransur-ansur supaya peningkatan kepada penggunaan pengangkutan awam meningkat dari 2% ke 40%.
• Meningkatkan jumlah laluan pejalan kaki di Bandaraya Melaka.
• Meningkatkan jumlah rumah kos rendah, rumah mampu milik yang dibina dengan jaringan yang boleh meningkatkan lagi kualiti kehidupan penduduk dan kawasan sekitarnya.

KELESTARIAN FISKAL

Melaka memerlukan bantuan dana dari Kerajaan Persekutuan bagi memenuhi keperluan perbelanjaan modal kerana ia mempunyai kapasiti terhad untuk pelaburan modal bebas.

Melaka mempunyai peluang untuk mengoptimumkan penarafan kredit profilnya supaya keadaan ini akan meningkatkan keyakinan pelabur tempatan dan asing untuk melabur di negeri ini.

Oleh kerana pendapatan kepada negeri terbahagi-bahagi kepada beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT), maka Melaka dan pihak PBTnya perlu bekerjasama dengan lebih erat untuk meningkatkan kedudukan kewangan fiskal mereka supaya boleh melaksanakan projek kemudahan infrastruktur yang lebih baik untuk memenuhi keperluan pembangunan pada masa hadapan.

Bagi memperbaiki kelestarian fiskal Melaka, maka ia perlu:-

• Mendapatkan penarafan kredit berskala nasional bagi menunjukkan kemampanan fiskal dengan memperbaiki pengurusan kewangannya.
• Meningkatkan kecekapan kutipan hasil berulang, meningkatkan margin operasi dan menambahbaik keupayaan pengurusan hutangnya.
• Bekerjasama dengan majlis perbandaran, seperti MBMB supaya perancangan pelaburan jangka-panjang yang mampan boleh dilaksanakan.

LANGKAH SETERUSNYA

Melaka mengambil langkah positif ke arah mencapai aspirasi kemampanan bandar dan pembangunan ekonomi masa depannya.

Penilaian Kemampanan yang dilakukan secara berterusan seperti yang dilakukan pihak UNIDO tersebut, berupaya memberikan panduan dan sokongan kepada Melaka untuk mencapai matlamat memampankan ekonomi, perancangan bandar yang bersepadu dan kelestarian fiskalnya.

Dalam artikel-artikel keluaran akan datang, kita akan bincangkan seterusnya hasil daripada laporan terhadap enam dimensi kelestarian seperti yang disebut pada awal artikel ini.

Semoga perbincangan ini boleh menjadi panduan kepada pendekatan pembangunan bersepadu yang hendak dilaksanakan di Melaka.

CATEGORIES