Mengimbau sejarah bendera Malaysia, Jalur Gemilang

Mengimbau sejarah bendera Malaysia, Jalur Gemilang

Jalur Gemilang megah kami terasa!

PERBALAHAN mengenai bendera Malaysia, Jalur Gemilang, sekali lagi menjadi isu perbincangan hangat di kalangan rakyat negara ini ketika ini.

Ini susulan pemaparan Jalur Gemilang dengan bintang berbucu lima ketika majlis perasmian kejohanan bola keranjang Piala Lum Mun Chak MABA/Milo kali ke-28 di Stadium Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pelik tapi tidak mustahil – itu yang dapat disimpulkan daripada isu terbaru tersebut.

Pelik kerana selepas 62 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan masih ada pihak yang gagal mengenali bendera rasmi negara namun kejahilan itu bukanlah sesuatu yang mustahil khususnya di kalangan mereka yang tidak menyelami sejarah Jalur Gemilang.

Seperti yang dijelaskan pakar sejarah Prof Datuk Ramlah Adam bendera dengan bintang lima bucu adalah draf dalam fail dan bukan diterima sebagai bendera rasmi negara ketika pertandingan mereka cipta bendera sebelum kemerdekaan negara.

Jalur Gemilang sepatutnya mempunyai bintang 14 bucu yang melambangkan perpaduan 13 negeri dan Kerajaan Persekutuan.

 

ASAL-USUL JALUR GEMILANG SECARA RINGKAS

– Pertandingan mereka cipta bendera kebangsaan telah diadakan pada Mei 1948 dan disertai seramai 373 karyawan. Hanya tiga reka bentuk bendera terpilih ke peringkat akhir pertandingan pada 15 November 1949 dan rekaan arkitek Jabatan Kerja Raya Negeri Johor Mohamed Hamzah mendapat undian majoriti dan perkenan Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950.

– Bagaimanapun reka bentuk asal bendera ciptaan Mohamed, yang meninggal dunia pada 19 Februari 1993, telah dibuat beberapa pindaan seperti bulan sabit dan bintang yang pada asalnya berwarna putih digantikan dengan warna kuning bagi melambangkan warna Diraja.

– Bendera negara pada awalnya dikenali sebagai bendera Persekutuan Tanah Melayu dan dikibarkan buat pertama kalinya pada 26 Mei 1950 di hadapan Istana Sultan Selangor di Kuala Lumpur. Majlis pengibaran dihadiri oleh Sultan Selangor dan Menteri Besar bagi Negeri Perak, Terengganu, Perlis, Kedah dan Negeri Sembilan.

– Ia telah dinaik dan dikibarkan secara rasmi pada 31 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor.

– Pada 16 September, bendera Malaysia dengan 14 jalur merah dan putih berkibar buat kali pertama selepas penyertaan Sabah, Sarawak dan Singapura.

– Walaupun Singapura keluar dari Malaysia pada 1965, bendera negara tidak mengalami sebarang perubahan dengan 13 jalur melambangkan 13 negeri manakala satu jalur adalah simbolik kepada Kerajaan Persekutuan.

– Jalur Gemilang diumumkan sebagai nama rasmi bendera Malaysia oleh Perdana Menteri Keempat Tun Dr Mahathir Mohamad pada malam 31 Ogos 1997 di Dataran Merdeka Kuala Lumpur.

 

MENGAPA JALUR GEMILANG PERLU DIHORMATI

– Ia merupakan lambang kedaulatan negara yang berkait rapat dengan semangat patriotik dalam mempertahankan maruah, bangsa, agama dan ibu pertiwi.

– Sebagai tanda ketaatan rakyat yang mencintai negaranya.

 

CADANGAN DARIPADA SEORANG MUFTI

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli al-Bakri dalam Bayan Linnas Siri Ke-210 telah mencadangkan agar Kerajaan menggubal suatu akta berkenaan penggunaan bendera Malaysia atau logo rasmi Malaysia bagi memastikan rakyat menghormati dan mencintai bendera yang menjadi kebanggaan negara.

Ini, katanya berdasarkan kepada situasi semasa dan juga keperluan memberi kefahaman kepada masyarakat dan rakyat berkenaan dengan peri pentingnya menghormati bendera kebangsaan.

Dr Zulkifli menyatakan bahawa penggubalan akta tersebut telah dilakukan di negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, India dan Singapura yang mempunyai AKta Bendera yang tersendiri.

Selain itu beliau turut mencadangkan supaya Berita Perdana jam 8 malam stesen-stesen televisyen dimulakan dengan kibaran bendera Malaysia serta lagu kebangsaan kerana ia adalah waktu puncak bagi penonton.

Bayan Linnas (Penjelasan Isu-isu Semasa) ialah himpunan daripada kenyataan-kenyataan umum oleh beliau terhadap isu-isu nasional dan antarabangsa. Ia merupakan pandangan hukum terhadap sesuatu persoalan yang memerlukan kepada penjelasan syarak secara tepat.

CATEGORIES