Mengajar anak beradab berkunjung di Hari Raya

Mengajar anak beradab berkunjung di Hari Raya

Jaga adab tu penting setiap masa..

Dr. Bustam Kamri
Dekan, Sekolah Sains Sosial,
Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka.

 

HARI Raya menjelang tiba. Pastinya ada perancangan untuk berkunjung ke rumah saudara mara dan sahabat handai. Tanpa disedari kadangkala kunjunga mengeratkan silaturahim tidak menjadi rasa mesra di hati tuan rumah disebabkan kelakuan anak-anak yang tidak terkawal.

Mungkin tuan rumah tidak berkata-kata di depan tetamu tetapi kita tidak tahu bagaimanakah perasaan mereka.

Contohnya 1, sekeluarga datang berkunjung dengan membawa anak-anak kecil lingkungan usia tiga hingga empat tahun. Anak kecil itu tidak boleh duduk diam. Bergerak sekitar rumah. Anak kecil itu menyentuh dan bermain apa sahaja barang hiasan tuan rumah.

Ibunya membiarkan sahaja kelakuan anaknya. Perkataan “Jangan usik,” daripada ibunya sekadar melepas batuk di tangga tanpa berbuat sesuatu. Tuan rumah hanya senyum terpaksa melihatkan anak tetamu tidak diurus kelakuannya.

Contoh 2, anak kecil tetamu berumur berumur 6 tahun makan bersepah-sepah di atas meja. Kuih lebihan yang dimakan di masukkan semula ke bekas kuih. Ibu bapanya tidak menegur sebalik mentertawakan perangai anaknya. Tuan rumah memerhati perbuatan anak tetamu dengan rasa serba salah untuk mengegur tingkah laku kanak-kanak itu.

Contoh 3, anak tetamu masuk ke dalam bilik dan bermain-main melompat-lompat di atas katil. Tidak cukup setakat bermain atas katil, anak tetamu mengambil barang yang tidak sepatutnya diambil untuk dijadikan mainan. Ibu bapa tetamu tidak menghiraukan kelakuan anaknya.

Banyak lagi perkara yang tidak sepatutnya dilakukan oleh kanak-kanak semasa bertamu di Hari Raya. Tetamu yang berkunjung sewajarnya belajar dan memahami adab bertamu. Sememangnya tuan rumah tidak berkata di depan tetamu. Bagaimanakah perasaan mereka apabila tetamu pulang ke rumah? Mungkin kita semua pernah merasai dan dapat memberi jawapan apabila anak-anak tetamu tidak dapat dikawal oleh ibu bapanya.

ETIKA MAKAN

Jarang sekali ibu bapa memberitahu anak-anak kecil ketika menghadapi hidangan makanan di atas meja. Mungkin budaya makan bersama di meja jarang berlaku. Terdapat ibu bapa yang memisahkan anak kecil makan berasingan. Apabila suasana di Hari Raya menghadapi hidangan makanan dan kuih muih mereka tidak dapat menyesuaikan keadaan.

Rasanya masih belum terlambat mendidik anak kecil makan cara yang bersopan ketika menghadapi hidangan di meja makan. Beritahu anak makan sekadarnya sahaja. Sebaik-baiknya kepada orang dewasa untuk mengambilkan makanan.terutama makanan yang ada kuah.

Cara begini tidak akan berlaku kuah tertumpah di alas meja makan.

Begitu juga ketika hendak makan kuih muih yang dihidangkan. Didik anak untuk mengambil kuih yang diingini sahaja. Beritahu makan dengan tangan kanan dan perlu dihabiskan sebelum mengambil kuih yang lain.

Jika kuih itu jauh dari tempat duduknya dan tidak boleh dicapai, minta kepada orang dewasa untuk menghulurkannya.

Tetamu membenarkan anak kecil minum memegang gelas kaca di bawa minum sambil berjalan. Hal ini membuatkan tuan rumah berasa cemas terutama gelas yang dipegang jenis berharga. Ibu bapa tetamu membiarkan anaknya begitu sahaja tanpa merasa risau kemungkinan gelas terlepas dari tangan dan pecah.

Setiap kali minta bantuan mengambilkan makan kepada orang dewasa latih kanak-kanak; “Ibu/ayah/Pak Cik/Mak Cik tolong ambilkan saya kari itu.” Sesudah itu disusuli dengan ucapan “Terima kasih”. Jarang kedengaran kanak-kanak menggunakan perkataan yang bersusila kerana ibu bapa tidak melatih seawall usia. Keadaan ini berterusan sehingga menjadi remaja yang tidak tahu tertib di meja makan.

TERTIB BERTAMU

Biasakan anak-anak duduk dengan tertib sewaktu di meja makan mahu pun di ruang tamu. Kebiasaan duduk dengan tertib di rumah akan menjadi perkara biasa ketika berkunjung ke rumah orang lain. Duduk diam ketika orang dewasa sedang berbual. Sekiranya dilihat anak merasa bosan ajar mereka bercakap minta izin bermain di luar rumah bukan di dalam rumah. Ingatkan kepada anak-anak supaya berhati-hati semasa berman di luar rumah.

Anak perlu dididik bercakap tidak terjerit-jerit sewaktu meminta sesuatu. Mendidik anak bercakap dengan nada rendah bermula dari rumah bukan semasa di rumah orang. Asuhlah anak-anak bermula dari sekarang sebelum masa Hari Raya. Apabila kanak-kanak telah terbiasa bercakap tidak terjerit-jerit, apabila berada di rumah orang mereka tidak melakukannya.

Ibu bapa hendaklah bersikap tegas dengan larangan menggunakan telefon untuk bermain dengan menerusi aplikasi yang terdapat di telefon. Sama ada sebagai tuan rumah mahu pun semasa berkunjung adalah tidak sesuai bermain telefon sehingga tidak bertegur sapa dengan tetamu.

Budaya bersosial perlu disemai semasa masih kecil. Latihan mendengar perlu diamalkan supaya mereka memahami komunikasi sosial.

Menonton televisyen di ruang tetamu ketika orang dewasa sedang berbual adalah tidak sesuai sama sekali. Mohon izin dengan orang dewasa atau tuan rumah jika ingin menonton. Itu pun setelah duduk beberapa lama mendengar perbualan orang dewasa.
Gunakan kadar bunyi yang rendah supaya tidak mengganggu orang dewasa yang sedang berbual. Sewaktu menonton jangan kerap menukar saluran televisyen.

DUIT RAYA

Memberi duit raya sudah menjadi perkara biasa semasa di Hari Raya. Kanak-kanak kecil telah dibiasakan menerima pemberian sampul berisi duit. Kanak-kanak yang masih kecil tidak mengetahui nilai wang. Sebaliknya kanak-kanak yang agak sudah besar sudah pandai menilai wang. Apabila menerima sampul duit raya mereka membuka di depan tuan rumah. Perkara seperti ini perlu ditegur oleh ibu bapa untuk menjaga air muka tuan rumah.

Sebenarnya memberi duit raya bukan satu kemestian oleh tuan rumah. Tujuan berkunjung ke rumah adalah untuk bermaaf-maafan dan menjalin kemesraan. Mendidik anak-kanak untuk mengenali hubungan keluarga dan sahabat ibu bapa. Oleh itu asuh anak-anak dengan memberitahu sebelum berkunjung bahawa Hari Raya bukan kerana untuk mengumpul duit raya.

TEGURAN SENSITIF

Ibu bapa hendaklah sentiasa bersikap sensitive terhadap tingkah laku negatif anak-anaknya. Sememangnya semasa di rumah anak-anak bertingkah laku yang baik dan tidak melakukan perkara yang tidak diingini. Tingkah laku anak akan berubah apabila di tempat baru. Mereka cuba menunjukkan kelakuan yang luar biasa dengan tujuan untuk mendapat perhatian. Jika berlaku tingkah laku yang negetif cepat-cepat dihalang supaya tidak berterusan.

Kadang kala tuan rumah akan menegur anak kita, maka ibu bapa hendaklah menerima dengan rasa terbuka. Sikap ibu bapa yang tidak menerima apabila anaknya ditegur adalah satu kesilapan. Kesilapan anak mungkin tidak disedari oleh ibu bapa tentang cara mendidik anak yang sepatutnya.

KESIMPULAN

Ibu bapa perlu sedar bahawa nilai budaya dalam sesebuah keluarga itu berbeza biar pun mereka di kalangan keluarga sendiri. Apabila keluar rumah ke rumah orang lain mereka mempunyai nilai tersendiri.

Kita yang berkunjung hendaklah menghormati nilai mereka. Oleh itu sebelum membawa anak-anak berhari raya elok dari sekarang mengingatkan mereka dan melatih tertib berhari raya agar kunjungan kita akan di kenang sampai bila-bila. SELAMAT HARI RAYA.

CATEGORIES
TAGS