Melaka terus pertingkat kualiti kehidupan masyarakat Orang Asli

Melaka terus pertingkat kualiti kehidupan masyarakat Orang Asli

Masyarakat Orang Asli tidak pernah dipinggirkan oleh kerajaan

AYER KEROH 11 Sept – Masyarakat Orang Asli merupakan satu kelompok kecil di Melaka namun merupakan antara aset terpenting negeri ini disebabkan keunikan kumpulan tersebut.

Sehubungan itu inisiatif kerajaan negeri untuk terus mempertingkatkan kualiti kehidupan masyarakat Orang Asli di negeri ini adalah langkah tepat dalam mengubah struktur sosio dan ekonomi mereka.

 

MEMBANGUNKAN EKO-PELANCONGAN DAN AGRO-PELANCONGAN UNTUK ORANG ASLI

Antara inisiatif untuk meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat Orang Asli di Melaka adalah dengan membangunkan sektor eko-pelancongan dan agro-pelancongan khusus untuk masyarakat tersebut.

Ketua Menteri Adly Zahari berkata, dua sektor berkenaan berpotensi untuk menjana pendapatan bagi masyarakat Orang Asli terutamanya golongan belia, melalui penghasilan produk kraftangan dan produk hiliran berasaskan hutan yang sinonim dengan masyarakat itu.

“Kerajaan negeri akan menyediakan latihan dan bimbingan kepada masyarakat Orang Asli yang ingin menceburi dua sektor itu agar mereka lebih berdaya saing dan berdaya tahan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Orang Asli Negeri Melaka 2019 di Machap Baru, Alor Gajah baru-baru ini.

 

MENINGKATKAN TAHAP PENDIDIKAN DALAM KALANGAN PELAJAR ORANG ASLI

Pada masa sama, ujar Adly, kerajaan negeri turut memberi tumpuan terhadap aspek pendidikan melibatkan masyarakat Orang Asli.

Selain meningkatkan pengetahuan, jelasnya, pendidikan juga membantu meningkatkan keyakinan diri masyarakat Orang Asli yang membolehkan mereka bersaing dengan masyarakat lain.

“Kita akan mencari jalan termasuk berbincang dengan Kerajaan Persekutuan supaya tahap dan mutu pendidikan yang diberikan kepada masyarakat Orang Asli akan dapat ditambahbaik dari semasa ke semasa,” katanya.

Kerajaan negeri menurutnya, sentiasa komited membantu pelajar Orang Asli melalui Skim Bantuan Galakan Pendidikan yang dilaksanakan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM), dan akan terus memastikan generasi muda mereka menerima pendidikan secara formal seperti yang sepatutnya.

 

MENAMBAHBAIK INFRASTRUKTUR PERKAMPUNGAN ORANG ASLI

Adly berkata, kerajaan negeri juga sentiasa memberi penekanan kepada usaha menambah baik infrastruktur di perkampungan Orang Asli di negeri ini seperti penyediaan jalan dan bekalan air serta elektrik.

Secara keseluruhannya tambahnya, terdapat 14 perkampungan Orang Asli di negeri ini dengan jumlah 2,008 orang penduduk dari suku kaum Temuan.

“Kerajaan negeri berjaya mewartakan dua perkampungan Orang Asli di daerah Jasin setakat ini iaitu Kampung Orang Asli Bukit Seraya di Selandar dan Kampung Orang Asli Lubuk Bandung di Simpang Bekoh,” katanya sambil menjelaskan usaha sedang dilakukan untuk mewartakan baki sembilan lagi perkampungan.

 

MANFAAT SEGALA BANTUAN YANG DISALURKAN

Usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat Orang Asli hanya boleh dicapai jika masyarakat tersebut turut berusaha untuk mencapai matlamat tersebut.

Adly menjelaskan bahawa masyarakat Orang Asli perlu memanfaatkan segala bantuan yang disedia dan disalurkan oleh kerajaan dengan baik demi kesinambungan hidup generasi mereka yang akan datang.

Mengambil contoh bidang pendidikan, beliau berkata kesedaran mengenai kepentingan pendidikan perlu bermula dari rumah khususnya dalam kalangan ibu bapa masyarakat Orang Asli.

“Terdapat pelajar Orang Asli di negeri ini yang telah berjaya melanjutkan pelajaran di universiti tempatan dan luar negara,” katanya.

Ini, katanya, membuktikan masyarakat Orang Asli telah semakin sedar mengenai kepentingan pendidikan.


SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS