Melaka tersenarai sebagai lokasi projek Universiti Wakaf

Nasib asnaf akan terus terbela di bawah pentadbiran Adly

BUKIT PALAH 17 Jun – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyenaraikan Melaka sebagai antara negeri pelaksanaan projek Universiti Wakaf.

Menurut Ketua Menteri, Adly Zahari, perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, baru-baru ini.

Adly yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berkata, pembangunan universiti wakaf  sebagai pemangkin kepada golongan asnaf untuk keluar daripada garis kemiskinan.

“Sebagai sebuah negeri yang sentiasa menitikberatkan pembangunan asnaf, kita telah menyatakan hasrat terhadap perkara itu, pihak Jakim telah menyenaraikan negeri ini sebagai antara lokasi projek berkenaan.

“Kita mahukannya kerana ia adalah fokus kita , untuk membantu golongan asnaf ini keluar daripada garis asnaf (kemiskinan) menerusi pendidikan,” katanya ketika ditemui ketika melawat Pusat Islam dan Baitulmal MAIM di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab yang juga Timbalan Pengerusi MAIM.

Sementara itu, Adly berkata, kerajaan negeri sedang bekerjsama dengan Yayasan Nusantara untuk
memperkasakan kembali Melaka sebagai pusat penyebaran Islam.

Katanya, tiga aspek yang diberi penekanan menerusi kerjasama berkenaan ialah pengukuhan ekonomi umat Islam, perpaduan dan pelancongan.

“Dari segi pelancongan kita boleh bangunkan pelbagai ciri melibatkan sejarah Melaka dan institusi agama,” katanya.

CATEGORIES
TAGS