Melaka terima RM1.7 juta laksana projek fertigasi pintar

Melaka terima RM1.7 juta laksana projek fertigasi pintar

Melaka menerajui teknologi terkini dalam sektor pertanian

BUKIT KATIL 19 Sept – Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM1.7 juta kepada Melaka bagi pelaksanaan projek fertigasi pintar di negeri ini.

Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee berkata, dengan hanya menggunakan telefon pintar, projek fertigasi pintar berasaskan Internet of Things (IoT) itu akan membolehkan petani memantau bacaan suhu, kelembapan udara dan tanah bagi tanaman mereka serta kawasan fertigasi.

Menurutnya, ini dapat menjamin hasil pengeluaran pertanian yang lebih konsisten tanpa dipengaruhi faktor cuaca.

“Ia membolehkan tuaian pertanian seperti kacang panjang, bendi dan cili merah dijual pada harga lebih murah yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya pada sidang media di Kem Pengakap Melaka di sini semalam.

Menurut Norhizam, projek fertigasi pintar itu turut membantu petani menjana pendapatan lebih baik kerana hasil pertanian mereka boleh dijual terus kepada pengguna tanpa melalui orang tengah.

Norhizam menjelaskan peruntukan RM1.7 juta yang diluluskan itu adalah sebahagian daripada peruntukan berjumlah RM3.7 juta yang dipohonnya daripada Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani.

Beliau berkata, baki peruntukan RM2 juta tersebut akan digunakan bagi membantu nelayan di Melaka menjana pendapatan alternatif.

“Kita akan mengajar nelayan menjalankan projek ternakan ikan dalam sangkar, kupang, kerang dan sebagainya melalui peruntukan yang saya minta itu,” katanya.

Menurut Norhizam, projek-projek yang telah dirancang itu dapat membantu nelayan yang kini berhadapan kesukaran memperoleh hasil tangkapan ikan yang tinggi disebabkan kerosakan ekosistem yang berlaku di kawasan tangkapan mereka.

“Ini adalah antara tujuan kenapa saya meminta peruntukan RM3.7 juta tersebut untuk Melaka,” jelasnya.

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS