Melaka Sentral ke arah terminal pintar

Melaka Sentral ke arah terminal pintar

Melaka Sentral mampu menjadi antara terminal bas terbaik di Malaysia

PEMBANGUNAN berterusan dalam membekalkan perkhidmatan awam berkualiti terus dipertingkatkan Melaka Sentral dalam misinya menarik lebih ramai pengguna perkhidmatan kenderaan awam di negeri ini.

Melaka Sentral hari ini dilihat komited membangunkan perkhidmatannya malah berada dalam fasa penambahbaikan membabitkan keseluruhan perkhidmatan bangunan itu bagi mencapai perkhidmatan mesra pengguna bagi tempoh beberapa tahun akan datang.

TOS, CTS LANGKAH PERTAMA PENAMBAHBAIKAN

Bagi mencapai matlamat itu, Sistem Tiket Berpusat (CTS) dan Sistem Operasi Terminal (TOS) telah mula diperkenalkan sejak April lalu menerima sambutan positif pengguna perkhidmatan berkenaan.

Menurut Pengurus Besar Melaka Sentral Sdn. Bhd. (MSSB), Md. Yusof Abdullah, kedua-dua sistem itu mampu memberi peluang kepada pihaknya menyelia perkhidmatan itu dengan lebih mudah.

Penggunaan sistem elektronik itu jelasnya mampu memberi keselesaan pengguna dengan lebih efektif malah penyelarasan harga tiket bas menjadikan sistem berkenaan lebih telus dan fleksibel.

“Penggunaan sistem kaunter yang dijalankan syarikat bas sebelum ini tidak diselia oleh kami dan hanya dikawal oleh syarikat dan ini kadangkala menjadikan harga tiket destinasi bas tidak tetap dan kadangkala juga akan naik tatkala pada waktu puncak dan musim perayaan.

“Jadi, hasil perbincangan MSSB bersama syarikat bas, kami telah melaksanakan sistem ini dan ia mampu mengelakkan pengguna daripada menghadapi masalah seperti kehilangan barangan, kecurian mahupun sikap pemandu bas yang lewat atau sebagainya.

“Apa yang lebih menarik, setelah beberapa bulan menggunakan sistem ini, sebanyak 70 peratus pengguna lebih cenderung menggunakan mesin dan selebihnya menggunakan perkhidmatan TOS.

“Malah, setelah sebulan ia dilaksanakan, lebih daripada 30 peratus pengguna menggunakan perkhidmatan mesin layan diri ini berbanding perkhidmatan kaunter,” katanya ketika ditemui MelakaKini, baru-baru ini.

Menyentuh kedudukan kaunter yang agak terlindung di kawasan itu katanya, posisi yang diletakkan itu bertepatan dengan perancangan pihaknya.

Malah, kedudukan kaunter itu sebelum ini merupakan kedai serbaguna, telah dijadikan TOS disebabkan mahu memberi peluang kepada peniaga di deretan itu daripada ‘kesepian’ dek kedudukan premis yang agak terlindung berbanding kedai yang lain.

“Posisi itu diletakkan TOS sebab kita tahu penggunaan itu akan menurun tidak lama lagi disebabkan sambutan pengguna terhadap mesin layan diri berbanding perkhidmatan kaunter.

“Rata-rata warga emas dan orang kurang upaya juga mampu menggunakan perkhidmatan mesin disebabkan penggunaannya yang mudah.

SISTEM TIKET ATAS TALIAN

Disebabkan trend penggunaan CTS yang meningkat saban hari, MSSB juga menyasarkan penggunaan pembelian tiket di atas talian.

Perkara ini disebabkan trend sambutan pengunjung di kawasan itu lebih cenderung menggunakan perkhidmatan terbabit berbanding menggunakan perkhidmatan kaunter.

Menurut Md. Yusof lagi, sejak pelaksanaan CTS, TOS dan jualan atas talian itu, pendapatan meningkat sehingga 40 peratus.

“Online ticketing yang dilaksanakan baru-baru ini juga dilihat cukup memberangsangkan malah apa yang kita mahukan adalah kepuasan pengguna bagi mendapatkan tiket bas dengan lebih mudah.

“Bagaimanapun, kita juga tidak akan menutup mana-mana syarikat penjualan tiket atas talian yang lain di bangunan ini seperti RedBus dan pelbagai lagi.

“Apa yang kita mahukan adalah mutu perkhidmatan, malah perlu bersama-sama bersaing dengan begitu positif dalam mendukung usaha ini.

SASAR 300 DESTINASI SELURUH SEMENANJUNG

Dalam pada itu, bagi bergerak dengan mampan, MSSB juga komited dalam menyasarkan beberapa destinasi tambahan pada perkhidmatannya.

Buat masa ini, pihaknya melakukan sembilan permohonan destinasi malah akan meningkat kepada 250 destinasi.

Katanya, pihaknya menyasar sehingga 300 destinasi yang akan ditawarkan menjelang suku pertama 2020.

“Seluruh destinasi di Semenanjung akan ditawarkan tidak lama lagi malah kami juga menyasarkan beberapa lokasi lain di sekitar lokasi sempadan negara termasuk beberapa tempat di Thailand dan Singapura,” katanya.

SISTEM TEKSI BERKUPON

Usaha berterusan itu juga tidak menenggelamkan perkhidmatan teksi yang bertapak lama di kawasan itu.

MSSB dalam perancangannya akan menawarkan sistem teksi berkupon bagi memudahkan pengguna mendapatkan perkhidmatan di kawasan berkenaan.

Jelas Pengurus Besar bangunan itu, kesemua perkhidmatan teksi berdaftar di kawasan itu akan menggunakan perkhidmatan berkenaan malah pengguna hanya perlu membeli kupon yang disediakan di kaunter teksi.

“Melalui langkah ini kita dapat mengawal kemasukan teksi di kawasan ini malah kawalan harga tambang juga dapat dipertingkatkan rentetan isu harga tambag yang tidak begitu fleksibel.

“Selain itu, perkhidmatan ini juga mampu mengemaskini segala pengurusan teksi di sini dan akan menjalankan perkhidmatan sistem beratur bagi mengelakkan ada pemandu yang mencuri pelanggan teksi yang lain,” katanya.

WUJUDKAN JEJANTAS PADA MASA AKAN DATANG

Melalu pelan pembangunan kawasan itu, sebuah jejantas menghubungkan antara Melaka Sentral dan Pasar Besar Melaka Sentral akan dibina sekali gus memudahkan pengguna mengakses laluan menerusi dua lokasi itu.

Perancangan itu juga melihat kepakaran daripada Terminal Bas Larkin, Johor yang membina jejantas bagi memudahkan pengguna mendapatkan barangan keperluan di pasar bersebelahan.

“Trend ini juga kita lihat berlaku sejak dahulu lagi dan apa kita dapati ramai pengguna bas domestik dalam negeri sanggup datang ke Melaka Sentral semata untuk membeli barangan dapur di pasar bersebelahan.

“Malah, perkara ini menunjukkan sambutan pengguna sehinggakan ada pengguna datang dari Alor Gajah menggunakan bas awam ke Melaka Sentral semata-mata untuk ke pasar sahaja.

“Jadi pelbagai pelan pembangunan yang akan dibangunkan di bangunan ini dan inilah proses penambahbaikan yang akan dilaksanakan MSSB dalam membantu sebuah pusat perkhidmatan awam yang mampan.

“Pelbagai perancangan tambahan lain juga akan dibina termasuk menyelaras reka bentuk 120 kios dan 37 unit kedai di dalam bangunan ini bagi menjamin dan mendapatkan sambutan menggalakkan pengunjung.

“Buat masa ini, kita memperuntukkan RM200,000 bagi kerja-kerja membaik pulih keseluruhan bangunan ini dan kami juga memerlukan sebanyak RM7 juta untuk pembangunan menyeluruh di Melaka Sentral.

“Melaka Sentral perlu dibangunkan kerana sambutan pengunjung yang datang juga semakin meningkat kerana direkodkan hampir 10,000 pengunjung direkodkan pada hari biasa dan ia meningkat kepada hampir 13,000 pengunjung pada hujung minggu,” katanya.

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS