Melaka rancang kurangkan beban B40

Melaka rancang kurangkan beban B40

AYER KEROH 11 Jan. – Golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) bakal menerima insentif dari kerajaan negeri bagi mengurangkan bebanan terhadap kenaikan tarif air yang berlaku tahun ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, insentif itu turut akan diberikan kepada isi rumah yang melakukan penjimatan penggunaan sumber air dan kaedah bagi melaksanakannya sedang dibincang bersama Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB).

Katanya, kerajaan negeri terpaksa menaikkan tarif air bagi menampung kos penyelenggaraan dan menaik taraf yang makin meningkat dan memberi jaminan golongan B40 tidak akan terbeban dengan pemberian insentif yang akan dilaksanakan.

“Dua kaedah yang dibincangkan bersama SAMB tentang tarif air yang dijangka tetap akan berlaku dan antara faktor kenaikan disebabkan kos penyelenggaran yang semakin meningkat.

“Ini antara formula mungkin boleh digunakan di Melaka bagi menangani kadar kenaikan tarif air kerana tarif air ini bergantung kepada negeri masing-masing,” katanya.

Adly berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri di Dataran Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Omar Jaafar dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Roslan Ibrahim.

Sebelum ini, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli bercadang menaikkan tarif air secara berperingkat tahun ini.

Setakat ini, Pulau Pinang mengesahkan tarif air negeri itu naik sehingga 20 peratus, Negeri Sembilan dan Perak masih mengkaji kesan kepada pengguna, manakala Johor tidak akan menaikkan kadar tarif utiliti itu atas alasan sudah melakukannya pada 2015.

CATEGORIES
TAGS