Melaka komited pupuk kesedaran rakyat terhadap kebersihan

Melaka komited pupuk kesedaran rakyat terhadap kebersihan

Tepuk dada tanya selera. #IniRumahKita

BERMULA tahun hadapan, Kerajaan Negeri Melaka bakal memperkenalkan empat inisiatif baru bagi memperkasa pelaksanaan kempen #IniRumahKita – kempen yang dilancarkan Ogos lalu bagi memupuk amalan menjaga kebersihan dalam kalangan rakyat negeri.

Ketua Menteri, Adly Zahari dilaporkan berkata empat inisiatif itu akan mengambil kira elemen atau kluster di bawah Dasar Kebersihan Negara bagi menarik penglibatan lebih ramai rakyat ke arah menjadikan amalan kebersihan sebahagian daripada aspek kehidupan mereka.

Dasar Kebersihan Negara dilancarkan di Melaka baru-baru ini dengan lima kluster utama iaitu kesedaran mengenai kebersihan, kelestarian alam sekitar, ekonomi kitaran, tadbir urus dan penguatkuasaan, dan modal insan berkualiti dan berkemahiran.

Namun seperti ditegaskan Adly, kempen #IniRumahKita dan Dasar Kebersihan Negara tidak akan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dalam kalangan rakyat negara ini atau mencapai sasaran yang ditetapkan sekiranya kesedaran rakyat terhadap aspek kebersihan masih rendah.

Beliau berkata semua sistem kerja yang dilaksana kerajaan negeri bagi menjaga kebersihan persekitaran tidak akan memberikan kesan optimum sekiranya pendidikan tentang penjagaan persekitaran dan alam sekitar tidak diterapkan dengan baik dalam kalangan rakyat.

“Dalam tempoh jangka panjang, kesedaran dalam kalangan rakyat itu perlu (kita pupuk), di samping kita bina suatu sistem. Namun untuk beri kesedaran itu perlu ada inisiatif, tidak boleh hanya peringatan sahaja semata-mata, itu tidak berkesan.

“Melaka perlu ada inisiatif seperti mana kesedaran komuniti reduce, reuse dan recycle oleh KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan). Insiatif kesedaran ini kita buat bukan sahaja untuk jangka pendek tetapi mengambil kira pendidikan untuk jangka panjang,” katanya seperti dilaporkan media.

 


BANTU MISI KEMBALIKAN STATUS MELAKA NEGERI TERBERSIH

Empat inisiatif baharu tersebut sebagai tambahan kepada aktiviti gotong-royong yang telah dimulakan menerusi kempen #IniRumahKita diyakini mampu menjayakan misi kerajaan negeri untuk mengembalikan status Melaka sebagai negeri terbersih di Malaysia.

Seperti yang telah diakui ramai, Melaka pernah diiktiraf sebagai negeri paling bersih di negara ini suatu ketika dahulu.

Status itu bagaimanapun telah terlepas ke pihak lain selepas tahap kebersihan di kawasan terbabit dikatakan lebih baik berbanding negeri ini.

Misalnya pada tahun lalu, Bandar Diraja Muar diiktiraf sebagai bandar paling bersih di Malaysia dan ASEAN.

Pengiktirafan itu dibuat melalui Anugerah Bandar Pelancongan Bersih ASEAN (ACTCA).

Dua tahun sebelum itu, Kementerian Pelancongan meletakkan Melaka sebagai negeri keempat terbersih di Malaysia selepas Terengganu, Perak dan Pulau Pinang.

Sejak itu Melaka tidak lagi diberi jolokan sebagai negeri terbersih walaupun ramai pelancong dalam dan luar negara memuji tahap kebersihan dan keceriaan di negeri ini.

Sehubungan itu kempen #IniRumahKita dan empat inisiatif yang akan diperkenalkan serta pelancaran Dasar Kebersihan Negara adalah langkah tepat dalam memupuk kesedaran rakyat negeri ini terhadap kepentingan aspek kebersihan yang dikatakan telah merosot.

 


TUNTUTAN AGAMA YANG GAGAL DIHAYATI RAKYAT

Dari sudut agama kebersihan itu amat dituntut dalam Islam.

Menurut hadis riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kebersihan itu adalah sebahagian daripada iman”.

Namun amat malang dan menyedihkan apabila masyarakat Islam yang membentuk majoriti di negara dan negeri ini masih memiliki kesedaran dan disiplin yang kurang dalam hal menjaga kebersihan berbanding rakyat negara lain termasuk jiran terdekat Singapura.

Malahan Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Negeri Melaka Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab turut dilaporkan sebagai berkata sikap rakyat yang tidak mementingkan kebersihan mendatangkan bencana seperti banjir di negeri ini.

Semoga pelbagai inisiatif yang telah, sedang dan akan dilaksanakan kerajaan negeri untuk mendidik, memupuk kesedaran dan mempertingkatkan kesedaran rakyat terhadap kebersihan persekitaran berjaya melunakkan naluri mereka dan seterusnya mengubah mentaliti kelas ketiga ke kelas pertama seperti mana masyarakat Jepun dalam aspek menjaga kebersihan.

Untuk masyarakat Islam khususnya, sewajarnya mereka menghayati pesanan yang ditinggalkan pemimpin agung sepanjang zaman, Nabi Muhammad SAW, seperti dijelaskan dalam hadis di atas.

 

Artikel Berkaitan

CATEGORIES
TAGS