Melaka kian ketandusan stok kupang?

Melaka kian ketandusan stok kupang?

Betul atau tidak?

MERLIMAU 9 Okt. – Kupang, spesies hidupan laut bercengkerang yang menjadi antara juadah makanan popular, khususnya bagi penggemar makanan laut.

Di Melaka sendiri, kupang menjadi antara juadah yang cukup istimewa dan wajib cuba terutama jika berkunjung ke gerai-gerai atau medan ikan bakar.

Namun, sejak akhir-akhir ini populariti kupang di negeri ini dilihat semakin merudum dan perkara ini dapat dilihat apabila sudah semakin berkurangan gerai-gerai tepi jalan dan pasar yang menjual spesies moluska bercengkerang ini.

Tinjauan MelakaKini di sekitar daerah Melaka Tengah mendapati tiada satu pun peniaga, baik di tepi jalan mahupun pasar menjual spesies ini.

Beberapa peniaga di sekitar Limbongan, Klebang dan Pantai Puteri mengakui faktor sukarnya mendapatkan bekalan, selain ia tidak tahan lama membuatkan mereka tidak berminat untuk memperjudikan nasib menjual kupang.

Nada sama turut disuarakan oleh beberapa peniaga di sekitar Serkam dan Merlimau.

Anita Mohd Amin, 54 mengakui kelibat peniaga kupang di kawasan sekitar ini sudah semakin berkurangan dek faktor kepayahan mendapatkan bekalan.

Jelasnya, beliau dan suami yang kini berniaga kupang sudah hampir setahun terpaksa bergantung harap kepada stok dari Muar semata-mata untuk mendapatkan bekalan kupang liar yang disifatkan lebih tahan lama berbanding kupang bela yang ada di sekitar Melaka.

“Memang susah nak dapatkan bekalan. Kalau dulu memang ramai yang berniaga kupang tepi jalan. Tapi sekarang dah tak ramai. Tak tahulah apa punca.

“Macam saya, kalau ada stok daripada pembekal barulah akan berniaga. Itu pun bergantung juga.

“Permintaan memang ada, tetapi adakalanya bekalan yang diterima tidak mencukupi,” katanya.

Seorang lagi peniaga yang mahu dikenali sebagai Syam turut mengakui perkara ini dan menyifatkan perniagaan kupang kini menjadi perniagaan bermusim.

“Stok yang ada tidak menentu sebab kupang ini bermusim. Jadi, kami hanya akan berniaga jika menerima bekalan daripada pembekal,” ujarnya.

 

Artikel Berkaitan

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS