Melaka kekal jadi negeri contoh peneraju teknologi hijau

Melaka kekal jadi negeri contoh peneraju teknologi hijau

Melaka perintis kepada peneraju teknologi hijau..

BANDARAYA MELAKA, 21 Okt. – Negeri-negeri lain dalam Malaysia masih menjadikan Melaka sebagai negeri contoh dalam aspek teknologi, infrastruktur dan amalan hijau.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau, Datuk Tey Kok Kiew berkata, dengan adanya Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM), yang merupakan satu-satunya agensi di peringat negeri ditubuhkan untuk memajukan teknologi hijau, Melaka sering dijadikan rujukan khidmat nasihat oleh kerajaan negeri lain yang ada di Malaysia.

“PTHM diasaskan pada 2013 dan ia merupakan satu-satunya agensi di peringkat negeri yang ditubuhkan untuk memajukan teknologi hijau di negara ini.

“Saya dimaklumkan beberapa kerajaan negeri telah berhubung dengan kita untuk mendapat nasihat bagi menubuhkan Perbadanan Hijau di negeri masing-masing. Syabas dan tahniah saya ucapkan.

“Selain menjadi contoh kepada negeri lain dalam negara, kerajaan negeri juga akan menyelaraskan semula strategi dan kekuatan yang ada berdasarkan slogan ‘Pintar, Hijau, Bersih’ dalam usaha menjadikan Melaka sebagai Bandar Pintar,” katanya.

Selain itu, Kok Kiew turut merakamkan ucapan tahniah kepada beberapa sekolah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini yang telah meraih pelbagai pengiktirafan dari dalam dan luar negara.

“Sebanyak 131 buah sekolah telah terlibat dalam program Eco-Schools Melaka dan 17 daripada sekolah itu telah menerima pengiktirafan dengan empat buah sekolah menerima anugerah tertinggi Green Flag, sembilan sekolah meraih pengiktirafan Silver dan empat lagi menerima Bronze.

“Selain itu, beberapa PBT di Melaka juga telah menerima pengiktirafan dunia hasil daripada inisiatif hijau ini seperti yang dilaporkan dalam Melaka Pathway Urban Sustainability terbitan World Bank,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Anugerah Hijau Melaka (AHM) 2019 bertempat di sebuah hotel terkemuka, di sini, baru-baru ini.

AHM 2019 menyaksikan sebanyak enam anugerah kategori utama yang dipertandingkan iaitu Pembudayaan Hijau, Projek Hijau, Produk Hijau, Inovasi Hijau, Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Hijau dan Komuniti Hijau.

Bagi kategori Pembudayaan Hijau yang dipecahkan kepada empat kategori, anugerah emas telah dimenangi Hospital Jasin Melaka, Malaysian Refining Company Sdn Bhd, Ramada Plaza Melaka dan Majlis Perbandaran Jasin.

Tenaga Nasional Berhad pula meraih anugerah emas bagi Projek Hijau dengan penghasilan Project Advanced Metering Infrastructure, sementara Hj Mat Hj Jantan Sdn Bhd pula diberi anugerah emas bagi Produk Hijau dengan penghasilan Booster Tanaman Milagro.

Kategori Inovasi Hijau pula menyaksikan Sekolah Menengah Arab Jaim Al Ahmadi dan Jabatan Elektrik Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKBN) Alor Gajah cemerlang meraih anugerah emas bagi kategori sekolah dan terbuka, masing-masing melalui projek penghasilan Baja Organik Ahmadi dan Energator.

Sementara itu, kategori Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Hijau dan Komuniti Hijau pula dimenangi oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

CATEGORIES
TAGS