Melaka kaji semula model bazar Ramadan

Melaka kaji semula model bazar Ramadan

Betul tu YB CM, kaji mana yang terbaik demi kebaikan peniaga tempatan...korang rasa macam mana?

AYER KEROH 23 Mei – Kerajaan Melaka akan mengkaji semula model bazar Ramadan di negeri ini ekoran wujud rungutan peniaga terutama Bazar Jalan Hang Tuah yang dikatakan gagal menarik pengunjung berbanding tahun lalu.

Faktor lain yang menyebabkan kesuraman Bazar Jalan Hang Tuah juga dikatakan berpunca daripada pertambahan peniaga di Bazar Ramadan Klebang.

Ketua Menteri, Adly Zahari mengakui kaedah memberi peluang perniagaan kepada seramai mungkin peniaga, dilihat gagal mencapai matlamat seperti yang dirancang.

Kata beliau, pihaknya akan memastikan kaedah baharu itu meliputi kesesuaian dan bilangan peniaga di satu-satu bazar Ramadan berkenaan.

“Sebenarnya kita tidak meletakkan satu garis panduan atau seberapa ramai peniaga yang sepatutnya terlibat dan cuba memberi ruang sebanyak mungkin peniaga yang boleh terlibat (berniaga).

“Tetapi dalam keadaan tertentu memang kita akan menilai balik kesesuaian kawasan bazar Ramadan, diikuti mengehadkan semula peniaga (bilangan peniaga), supaya mereka boleh menjana keuntungan dan sebagainya.

“Kita juga akan mencari tapak lain untuk dibuka bazar Ramadan kerana terdapat beberapa kawasan yang dikatakan berlawan antara satu sama lain hingga menyebabkan kesan ke atas jualan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Seri Negeri di sini semalam.

Menurut Adly, pihak penganjur bazar Ramadan perlu memainkan peranan melaksanakan aktiviti kreatif yang boleh menarik pengunjung.

“Kelemahan itu akan kita perbaiki dan kehadiran pengunjung juga banyak bergantung kepada kreativiti pihak penganjur.

“Dalam dunia perniagaan sentiasa ada untung dan rugi serta kita akan tambah baik perkara itu dan mendengar pandangan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membantu para peniaga,” jelasnya.

CATEGORIES
TAGS