Melaka ibarat peti sejarah

Melaka ibarat peti sejarah

Info serba sedikit berguna kepada mereka yang ingin kenali kawasan bersejarah di Melaka...

ORANG kata, walau semaju mana kita sekalipun, jangan lupakan sejarah, kerana sejarah akan `mengajar’ kita jika dilupakan.

Hal ini seperti kata ahli falsafah barat, Aristotle, ‘siapa yang melupakan sejarah, maka sejarah akan berulang.’

Kewujudan sesuatu tamadun dapat dilihat daripada kesan atau monumen yang ditinggalkan masyarakat terdahulu.

Melaka adalah contoh terbaik untuk melihat keagungan tamadun yang dibina suatu ketika dahulu menerusi bangunan sejarah yang terdapat di bumi Hang Tuah ini.

KOTA A FAMOSA

Destinasi wajib dikunjungi pelancong yang berkunjung ke Melaka.

Kota A Famosa turut dikenali sebagai Pintu Gerbang Santiago merupakan tempat bersejarah paling popular dan sering menjadi ikon pelancongan negeri Melaka.

Kota ini juga sering dijadikan imej utama untuk poskad, setem untuk melambangkan negeri Melaka itu sendiri.

Kubu pertahanan itu telah dibina pada tahun 1511 ketika era penjajahan Portugis lebih 500 tahun lalu.

 

KOTA BELANDA BUKIT ST.JOHN (BUKIT SENJUANG)

Kota Belanda Bukit Senjuang dibina di puncak Bukit Senjuang di selatan Bandaraya Melaka.

Dibina dengan menggunakan batu laterit pada ketinggian 20 meter dari aras laut.

Ia sebagai kubu pertahanan tentera Belanda untuk memantau pergerakan tentera Bugis di perairan Selat Melaka ketika era penjajahan Belanda di Melaka.

Kubu pertahanan ini dikelilingi tanah perkuburan, jadi, jaga-jaga, ada yang memerhati.

 

BANGUNAN MERAH: THE STADTHUYS

Bangunan bersejarah paling popular dikenali sebagai bangunan merah. Dikenali sebagai The Stadthuys ini adalah bangunan Belanda tertua di Asia Tenggara.

Lokasi di tepi Sungai Melaka, ia merupakan sebahagian seni bina kolonial Belanda yang terkenal di Bandaraya Melaka.

Difahamkan, The Stadthuys merupakan kediaman rasmi gabenor dan pegawai Belanda suatu ketika dahulu.

Dibina pada 1641, bangunan itu menjadi pusat pentadbiran penjajah yang menjajah Melaka seperti Belanda, Portugis dan Inggeris.

 

KAMPUNG MORTEN: PERKAMPUNGAN MELAYU MELAKA

Kampung Morten diasaskan pada 1923 sempena nama Pesuruhjaya Tanah dan Hasil Melaka, M.J. Morten.

Kampung tersebut menempatkan 120 tapak rumah dan terletak di tepi Sungai Melaka yang dihiasi lampu berwarna-warni.

Meskipun berada di tengah-tengah pusat bandaraya, Kampung Morten masih mengekalkan ciri-ciri tradisional dengan ukiran dan corak di tangga rumah yang unik.

Kampung Morten turut menyediakan inap desa menarik dan selesa kepada pelancong yang inginkan pengalaman yang berbeza.

 

KESIMPULAN

Ini hanya sebahagian bangunan bersejarah yang diketengahkan.

Banyak lagi bangunan bersejarah di sekitar Melaka seperti makam pahlawan Melaka yang terkenal terutama Hang Tuah, Hang Jebat dan Tun Teja yang harus dikunjungi.

Ini bermakna pelancong perlu berada di Melaka untuk tempoh yang lebih panjang untuk meneroka kesan-kesan sejarah kehebatan tamadun bangsa suatu ketika dahulu.

CATEGORIES
TAGS