Melaka duduki tempat ke-2 selepas Kuala Lumpur

Melaka duduki tempat ke-2 selepas Kuala Lumpur

BANDAR HILIR 24 Julai – Melaka merupakan destinasi pelancongan paling popular di negara ini selepas Kuala Lumpur setelah mencatatkan jumlah kedatangan pelancong mencecah hingga 16.79 juta pada 2017.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 3.15 peratus berbanding pada tahun 2016.

Beliau berkata, pihaknya yakin, industri pelancongan Melaka mampu mencapai sasaran kehadiran seramai 17 juta pelancong dengan mudah pada tahun ini,” katanya.

Mohamaddin berkata demikian semasa berucap merasmikan Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2018 di perkarangan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di sini, malam Isnin lalu.

Hadir sama, Ketua Menteri, Adly Zahari; Speaker Dewan Undangan Negeri, Omar Jaffar; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Roslan Ibrahim; Ketua Setiausaha, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Rashidi Hasbullah.

Yang turut hadir, Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Muhammad Jailani Khamis; Ahli-Ahli Exco Kerajaan Negeri, Ketua Pengarah Jabatan Muzium merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2018, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim.

Diikuti Pengurus Besar PERZIM, Datuk Khamis Abas dan Ketua Pengarah Jabatan Muzium, Datuk Kamarul Baharin Kasim.

Jelas Mohamaddin, MOTAC menyasarkan Malaysia untuk berada dalam kedudukan 10 terbaik dunia sebagai destinasi utama pilihan pelancong pada tahun 2018 ini.

“Pihak kami menyasar untuk memperbaiki kedudukan itu berbanding tempat ke-12 terbaik dunia kategori ini.

“Malaysia berada pada landasan terbaik untuk mencapai sasaran itu apabila menerima kedatangan 8.47 juta pelancong asing dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

“Di peringkat nasional tahun ini, kami letakkan sasaran kehadiran 33.1 juta pelancong asing,” ujarnya.

Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2018 bertemakan ‘Jaringan Muzium : Pendekatan Baharu Sasaran Baharu’ kini berlansung di perkarangan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan bermula dari 21 hingga 29 Julai 2018.

Pelbagai program diadakan termasuk Pameran, Bengkel, Seminar, Sukan, Muzium Bersama Masyarakat, Muzium Berselawat, Museum Run dan Museum Treasure Hunt melibatkan 37 muzium terdapat di negara ini.

CATEGORIES
TAGS