Melaka cadang sedia susu formula buat warga emas

Melaka cadang sedia susu formula buat warga emas

Langkah baik kerajaan negeri dalam membantu golongan warga emas

BUKIT KATIL 15 April – Kerajaan negeri akan membuat penilaian menyediakan makanan tambahan seperti susu formula untuk warga emas di negeri ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, ia antara makanan tambahan utama yang diperlukan buat golongan yang sudah uzur.

Beliau berkata, susu formula buat golongan itu merupakan penggunaan yang agak tinggi dan ia perlu diambil perhatian.

“Kita akan buat penilaian, jika dilihat memang keperluan utama golongan yang uzur ini adalah makanan tambahan seperti susu agak tinggi.

“Kerajaan negeri akan cuba buat beberapa penilaian, ini perkara-perkara yang sedang kita ambil perhatian setakat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Lawatan Ziarah Kasin DUN Bukit Katil di sini, baru-baru ini.

Pada program itu Adly turut mengadakan lawatan serta memberi sumbangan kepada enam buah keluarga yang memerlukan.

Terdahulu Adly memberitahu, Ziarah Kasih itu ruang untuk bertemu dan mendengar permasalahan rakyat di DUN tersebut.

“Ziarah Kasih ini memang kita teruskan, kita boleh lihat masalah-masalah utama masyarakat yang memerlukan bantuan daripada kita.

“Kerajaan negeri melalui Japerun akan sentiasa pantau kebajikan rakyat bagi memastikan kebajikan mereka dijaga dengan baik,” katanya.

Untuk rekod, Januari lalu kerajaan negeri dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) memperuntukkan sebanyak RM1.4 juta bagi penyediaan lampin pakai buang kepada warga emas memerlukan di Melaka tahun ini.

Inisiatif itu merupakan usaha kerajaan negeri meningkatkan aspek kebajikan terhadap rakyat yang memerlukan khususnya warga emas.

CATEGORIES
TAGS