Melaka cadang pemaju hartanah laksana Pra-CCC beri manfaat pembeli

Melaka cadang pemaju hartanah laksana Pra-CCC beri manfaat pembeli

Berkualiti dan capai piawaian secara maksimum

DURIAN TUNGGAL 3 Dis. – Kerajaan negeri mencadangkan kepada kesemua pemaju hartanah di negeri ini agar melaksanakan program Pemeriksaan Pra-Perakuan Siap dan Pematuhan (Pre-CCC) menjadi antara syarat di dalam membangunkan projek perumahan di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, perlaksanaan Pra-CCC merupakan salah satu inisiatif bagi memberi keyakinan kepada pembeli hartanah di negeri ini supaya memiliki kediaman yang berkualiti agar mencapai piawaian secara maksimum.

Katanya, cadangan berkenaan boleh dikemukakan kepada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) bagi memberi manfaat kepada bakal pemilik kediaman di Melaka.

“Kerajaan negeri mencadangkan CIDB agar mengemukakan syarat Pra-CCC ini kerana memberi pelbagai kebaikan kepada pemilik rumah bagaimanapun syarat ini mungking belum dimandatori.

“Melalui cara terbaik ini ia bukan saja menarik minat pembeli namun mereka juga akan didedahkan dengan piawaian yang tepat dan kualiti rumah yang dibeli.

“Pada masa sama, pembeli turut akan didedahkan dengan pelbagai aspek teknikal sekali gus memberi faedah kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pemeriksaan Pre-CCC dan penyerahan replika kunci kepada pembeli unit kediaman Taman Nuri Durian Tunggal, baru-baru ini.

Hadir sama Pengarah Urusan Sri Pengkalan Binaan (SPB) Sdn. Bhd., Datuk Jacky Yap Jyh Haur dan Pengarahnya, Yap Lih Shyan.

Dalam pada itu, menurut Jacky, penganjuran buat julung kali bagi syarikat itu bagi memastkan pengeluaran CCC terhadap 151 unit kediaman terbabit setaraf dengan konsep berkualiti, inovatif, dan mampu milik dapat direalisasikan menjelang 2020.

“Dengan cara ini, syarikat bukan sahaja dapat menyempurnakan projek perumahan pada harga mampu milik, pembeli yang dipilih secara rawak ini juga melalui pengalaman dalam menilai kualiti rumah mengikut piawaian industri pembinaan.

“Ia sekali gus meyakinkan pembeli dengan latar belakang syarikat berdasarkan trek rekod lebih 40 tahun dalam negara, serta membantu mereka membuat keputusan bijak dan tepat,” katanya.

CATEGORIES
TAGS