Melaka Berwibawa – Apa yang anda faham?

Melaka Berwibawa – Apa yang anda faham?

Baca dan fahami isi kandungan artikel ini

LEBIH setahun lalu, Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari mengumumkan bahawa slogan baru kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) ialah: ‘Melaka Berwibawa’ manakala cogankatanya pula ialah ‘Pintar, Hijau dan Bersih’.

Beliau menjelaskan bahawa slogan ‘Melaka Berwibawa’ tersebut adalah gambaran menyeluruh mengenai negeri Melaka dari pelbagai perspektif. Tumpuan slogan tersebut bukanlah dari aspek kebersihan alam sekitar semata-mata tetapi juga merangkumi pentadbiran yang lebih telus, bersih dan amanah.

Slogan dan cogankata tersebut juga dirangka sebagai suatu peringatan supaya Melaka akan terus menjadi sebuah negeri yang terkehadapan dalam pelaksanaan insiatif berkaitan teknologi hijau, pemeliharaan alam sekitar dan pengawalan kebersihan.

Artikel ini cuba untuk mengimbau kembali definisi dan huraian yang lebih mendalam terhadap slogan dan cogankata tersebut supaya masyarakat di negeri Melaka khususnya akan dapat lebih memahami dan menghayatinya untuk panduan kehidupan harian mereka.

‘Melaka Berwibawa’ didefinisikan sebagai sebuah negeri yang berkeupayaan tinggi, bertaraf global, mementingkan budaya, progresif dan demokratik. Melaka secara inklusif dan inovatif adalah sebuah kerajaan yang sentiasa terbuka kepada penambahbaikan, dengan mengutamakan peningkatan kepintaran, kehijauan dan kebersihan serta peduli kepada rakyatnya.

Manakala cogan kata ‘Pintar’ pula membawa maksud bahawa negeri Melaka mengguna pakai ilmu pengetahuan sebaik mungkin ke arah kesejahteraan sejagat dengan penekanan terhadap kepintaran dan inovasi dunia digital.

Cogan kata ‘Hijau’ bermaksud kerajaan dan rakyat menggembleng usaha pelbagai lapisan masyarakat ke arah mewujudkan kelestarian alam semulajadi dan mengamalkan konsep pembaziran sifar.

Manakala ‘Bersih’ pula bermaksud memupuk prinsip dan amalan kebersihan rohani dan jasmani secara menyeluruh ke segenap lapisan masyarat.

Pembangunan definisi slogan Melaka Berwibawa

Definisi slogan Melaka Berwibawa ini dibangunkan daripada gabungan beberapa dokumen penting berkaitan dengan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan.

Di antaranya adalah gabungan dokumen Manifesto PH, dokumen berkaitan dengan pembangunan Smart City, dokumen Green City Action Plan yang telah dibangunkan sebelum ini serta lain-lain dokumen pembangunan terbitan kerajaan negeri yang terkini juga telah di gunakan.

Dokumen-dokumen ini kemudiannya diringkaskan dan didapatkan kata kuncinya yang penting.

Setelah itu, deraf definisi slogan itu kemudiannya dibentangkan kepada pihak kerajaan negeri untuk diterima pakai dan disebarkan untuk pengetahuan dan panduan umum.

Contoh katakunci yang telah diterbitkan daripada dokumen tersebut adalah seperti perkataan kemajuan, kepintaran, kelestarian, kebudayaan dan kebersihan. Daripada katakunci ini kemudiannya disusun ayat bagi menghasilkan definisi tersebut bagi memenuhi tujuan dan maksud slogan yang ingin diutarakan.

Penerbitan slogan ini akan membolehkan rakyat untuk menghayatinya bersama-sama dengan pihak kerajaan bagi merealisasikan cita-cita untuk melahirkan sebuah negeri Melaka yang berwibawa.

Hala tuju slogan Melaka Berwibawa

Seperti yang disebutkan dalam definisi di atas tadi, kerajaan negeri mahu menjadikan Melaka sebagai sebuah negeri yang berkeupayaan tinggi yang boleh berdiri di atas keupayaannya sendiri tanpa bergantung ataupun terlalu bergantung dengan pihak lain.

Potensi Melaka dengan sejarah agungnya yang terdahulu mampu dibangunkan semula dengan perancangan strategi yang mapan dan berdaya saing bagi mencapai cita-cita tersebut.

Kerajaan negeri dengan tiga inisiatif iaitu Pintar, Hijau dan Bersih akan memastikan Melaka menjadi sebuah negeri yang terkehadapan dalam usaha mentranformasikan Melaka menjadi sebuah negeri yang bertaraf antarabangsa, moden dan pintar.

Meningkatkan penggunaan teknologi hijau bagi mengutamakan penjagaan alam sekitar dan kebersihan negeri. Di samping tidak lupa untuk menekankan tentang peri pentingnya budaya dan warisan negeri Melaka yang sangat bernilai tinggi dengan kerajaan yang bersifat lebih terbuka serta demokratik terhadap rakyatnya.

Kerajaan negeri berusaha memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan wibawanya. Dua contoh terkini ialah dengan menubuhkan Jawatankuasa Kompetensi, Akauntabiliti dan Ketelusan Melaka (MELCAT) dan mengehadkan tempoh perjawatan Ketua Menteri kepada hanya dua penggal.

Melaka sebagai sebuah kerajaan yang dibentuk oleh rakyat melalui sistem demokrasi, bersedia menerima dan menjawab segala teguran rakyat dengan baik supaya rakyat faham bahawa apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan adalah demi kebaikan mereka.

Perlaksanaan slogan Melaka Berwibawa

Berpaksikan kepada slogan ‘Melaka Berwibawa’, kerajaan negeri akan melaksanakan tadbir urus yang cekap dalam usaha bagi memastikan kerajaan negeri melaksanakan tanggungjawabnya dengan berkesan demi kesejahteraan rakyat.

Sebagai contoh, dengan dua inisiatif yang disebutkan di atas iaitu penubuhan MELCAT dan mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri kepada dua penggal akan memastikan wujudnya kerajaan yang lebih telus dan membuka ruang kepada pelaksanaan lebih banyak inisiatif lain supaya kecekapan dan keberkesanan pentadbiran akan tercapai.

Kerajaan negeri juga sedang merangka Dasar Pelan Strategik bagi Negeri Melaka untuk tempoh 15 tahun yang akan datang bermula dari 2020 hingga 2035. Inisiatif ini mengambil kira pelbagai aspek strategik pembangunan negeri untuk tempoh jangka pendek, sederhana dan panjang. Tenaga pakar dan professional daripada pelbagai pihak diseluruh negara di gembleng bagi membantu pembangunan inisiatif yang tersebut.

Peranan rakyat di dalam merealisasikan visi Melaka Berwibawa

Rakyat Melaka boleh memainkan peranan merealisasikan misi tersebut dengan meningkatkan penguasaan ilmu dan jati diri mereka yang bersesuaian dengan slogan kerajaan negeri Melaka itu sendiri. Rakyat negeri Melaka perlu melengkapkan diri mereka untuk menghadapi perubahan teknologi yang semakin pesat agar dapat membantu negeri Melaka menjadi sebuah negeri yang moden, pintar dan mesra alam sekitar.

Dari segi ekonomi pula misalnya, rakyat Melaka boleh membantu mengekalkan pertumbuhan ekonomi utama negeri dengan menyokong dan membeli barangan buatan tempatan, mengutamakan pelancongan ke tempat-tempat menarik di dalam negeri Melaka sendiri terutama sempena Tahun Melawat Melaka 2019.

Dengan mengutamakan pelancongan di dalam negeri misalnya, kita akan dapat mengurangkan aliran wang ke luar negara dan pada masa sama merangsang pembangunan industri pelancongan tempatan.

Sebagai sebuah negeri pelancongan yang sedang giat membangunkan ekonominya ke arah ekonomi berdaya saing dan maju, kualiti produk pelancongan sudah ditingkatkan dengan secara yang strategik bagi memenuhi keperluan tempatan dan luar negera.

Banyak produk pelancongan yang ada di Melaka misalnya pada hari ini bukan sahaja memiliki kualiti yang setanding malah ada yang lebih baik daripada produk luar negara.

Tidak cukup sekadar aspek pelancongan, aspek-aspek lain seperti peningkatan industri pembuatan dan perkhidmatan yang lain juga perlu di pertingkatkan.

Rakyat Melaka dari segi sejarahnya adalah merupakan rakyat yang terkenal dengan ciri-ciri kreativiti, inovasi dan keazaman yang tinggi. Ciri-ciri ini telah diiktiraf di peringkat global sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka dahulu lagi. Marilah sama-sama kita berusaha menjadikan Melaka sebuah negeri yang apabila disebut namanya, maka ayat pertama yang terpacul dipemikiran ialah, ‘Melaka Berwibawa’.

Negeri Melaka, Negeri Bersejarah,
Adatnya Di Puja, Warisannya Di Junjung
Melaka Berwibawa, Ciri Bermaruah,
Pertingkatkan Usaha, Rakyatnya Di Sanjung

oleh: Zaipul Anwar Zainu
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS