Melaka berdepan catuan air

Melaka berdepan catuan air

Kita doakan supaya bekalan air kekal mencukupi..

AYER KEROH 22 Mei – Melaka dijangka memulakan catuan air tiga minggu lagi pada 15 Jun depan, jika cuaca kekal kering dan tiada hujan turun di kawasan empangan.

Ketua Menteri, Adli Zahari berkata, ketika ini paras air di kawasan empangan Durian Tunggal berada pada tahap membimbangkan iaitu, 37.8 peratus, diikuti empangan Jus (66.4 peratus) dan empangan Asahan (62.5 peratus).

Beliau berkata, sebagai langkah pencegahan buat sementara waktu, empangan Jus akan menampung paras air di empangan Durian Tunggal hingga ke paras normal.

Katanya, beberapa langkah lain turut dilaksanakan antaranya membuat permohonan bekalan air mentah tambahan terhadap kerajaan Johor terhadap cadangan mengepam sumber air Sungai Muar ke empangan Durian Tunggal.

“Kita ada beberapa pelan kontijensi bagi memastikan bekalan air tidak terganggu terutamanya pada musim perayaan.

“Masih belum capai ke tahap catuan, tetapi langkah proaktifnya kita akan laksanakan termasuk memohon rakyat berjimat-cermat menggunakan air.

“Jika masih tiada hujan sehingga 15 Jun, catuan air akan dimulakan dengan mengurangkan tekanan pam air diikuti langkah lain,” katanya ketika ditemui di Seri Negeri, sebentar tadi.

Menurut Adly, paras air di empangan Jus buat masa ini masih mampu menyelamatkan keadaan, bagaimanapun beliau berharap ia tidak berlaku.

“Masih ada ruang untuk empangan Jus mengepam bekalan air ke empangan Durian Tunggal, paras kritikal di empangan Jus adalah pada kadar 29 peratus.

“Kalau cecah paras itu, maka terpaksa umum darurat kerana tak mampu tampung paras air empangan Durian Tunggal.

Berhubung proses pembenihan awan yang dilakukan tempoh hari, Adly berkata, hujan yang turun berlaku di kawasan Tampin, di luar kawasan tadahan.

Adly turut memaklumkan, kerajaan negeri kini sedang membuat kertas kerja bagi mendapatkan bekalan air dari Tasik Biru ke empangan Durian Tunggal.

“Kita sedang dalam proses mendapatkan kebenaran dari tuan tanah, tempohnya mungkin satu tahun dari sekarang.

“Ia penting supaya kita tidak berdepan lagi dengan keadaan seperti ini,” katanya.

CATEGORIES
TAGS