Melaka akan dapatkan khidmat ‘pakar banjir’

Melaka akan dapatkan khidmat ‘pakar banjir’

Kerajaan negeri lebih tahu apa yang terbaik untuk rakyatnya

AYER KEROH 11 Julai – Kerajaan negeri akan mendapatkan khidmat juruperunding bagi menyelesaikan masalah banjir yang melanda negeri kini setiap tahun.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, isu yang berlarutan lebih 15 tahun di negeri ini perlu diselesaikan secara menyeluruh dan untuk itu, khidmat juru runding akan diperlukan.

Katanya, antara tugas pakar pengurusan banjir itu akan membabitkan penyelesaian air banjir yang mampu menyumbang kepada air takungan di kawasan empangan.

“Mengenai isu banjir yang telah berlarutan lebih 15 tahun di Melaka, kerajaan negeri akan mengambil inisiatif mendapatkan pandangan daripada pihak konsultan untuk melihat isu banjir secara menyeluruh dan kita akan cuba menyelesaikannya.

“Selain itu, kita juga akan mendapatkan pandangan untuk memastikan air banjir dapat ditakungkan ke kawasan empangan yang hanya beroperasi sekitar 60 peratus sahaja sewaktu musim banjir dengan mengepam air di kawasan rendah ke kawasan tinggi.

“Dan antara penyelesaiannya jangka masa pendek adalah kita boleh kenalpasti mangsa banjir di kawasan rendah untuk ditempatkan semula di kawasan penempatan banjir,” katanya pada sidang media Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Seri Negeri di sini hari ini.

Dalam pada itu Adly berkata, kerajaan negeri juga akan memohon peruntukan tambahan RM10 juta daripada Kerajaan Pusat bagi mengakhiri bencana alam yang berlaku setiap tahun itu.

Bagaimanapun, Adly berkata, kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan mendahulukan RM10 juta bagi membaik pulih pintu kawalan air di muara Sungai Melaka bagi mengelakkan bencana alam lebih dahsyat berlaku akibat hujan lebat dan air pasang.

“Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hasim Hasan yang bertindak sebagai Pengerusi Bencana Alam negeri akan menyelaras urusan berkaitan pelepasan air membabitkan pam dan pintu kawalan air bagi menangani masalah banjir.

“Permohonan tambahan juga telah dikemukakan kepada Kerajaan Pusat sementara menunggu, MBMB dan kerajaan negeri akan mengeluarkan dahulu RM10 juta untuk membaiki pintu air.

“Kita menjangkakan kerja membaik pulih itu selesai sebelum hujung tahun ini kerana keperluan agak mendesak, namun keperluan membaiki pintu air itu hanya penyelesaian sebahagian dari proses kawalan air.

“Ia dibuat bagi menambah baik situasi semasa kerana didapat hanya satu pintu baraj air yang berfungsi, manakala tiga lagi tidak berfungsi dengan sempurna dan ia memberi kesan terutama kepada kawasan bandar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Adly berkata, kerajaan negeri akan melihat mekanisme sesuai untuk memindahkan mangsa banjir ke lokasi sesuai termasuk memberikan bayaran pampasan yang akan dimuktamadkan.

“Ada sebahagian kita terpaksa menyelesaikannya melalui perpindahan dan telah mengarahkan pejabat tanah dan daerah (PTD) mengenal pasti kawasan yang terlalu rendah dan penduduk yang terlibat.

“Kita akan bina formula penempatan banjir untuk mereka yang duduk di kawasan rendah,” katanya.

Bancian berhubung perkara itu akan dibuat membabitkan kawasan Krubong, Belimbing Dalam, sebahagian kawasan di Gadek dan daerah-daerah yang berisiko.

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS