Melaka agresif promosi produk pelancongan

Melaka agresif promosi produk pelancongan

BERLIN 11 Mac – Melaka mempromosi produk pelancongannya secara agresif ke peringkat antarabangsa melalui Internationale Tourismus Borse (ITB) 2019 di Berlin, German mulai 4 hingga 10 Mac lalu.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, ia selaras dengan hasrat kerajaan negeri mempromosikan Tahun Melawat Melaka (TMM) 2019.

Menurutnya, penglibatan Melaka di ITB 2019 bagi membina jaringan perniagaan serta mencari peluang perniagaan baharu dalam kalangan Perancang Persidangan Professional (PCOs) dan Syarikat Pengurus Destinasi (DMCs).

“Ia bagi melihat Melaka sebagai salah sebuah destinasi pilihan penganjuran mesyuarat, persidangan dan insentif antarabangsa.

“Melaka turut diberikan penghormatan oleh pihak Tourism Malaysia apabila dua chef dari Melaka terpilih menyediakan makanan tradisi Malaysia di Berlin,” katanya.

Hadir sama, Pengurus Tourism Melaka, Zairi Suboh dan pegawainya.

Chef Khairul Anuar Madon dan Chef David dari Hotel Ramada Plaza by Windham Melaka dipilih bagi menyediakan lapan set makanan tradisi utama Malaysia pada Majlis Makan Malam ITB 2019 bagi meraikan 4,000 tetamu di City Cube, Messe Berlin.

Mengikut rekod, pada tahun 2017 Melaka mencatatkan seramai
26,885 pelancong dari German yang melancong ke Melaka dengan purata perbelanjaan seorang pelancong kira-kira RM482.20 sehari.

ITB 2019 merupakan platform perdagangan pelancongan terbesar di dunia yang mengumpulkan lebih 10,000 pempamer destinasi dari 185 negara.

Ia dihadiri lebih 170,000 pengunjung jemputan khas, 115,000 ahli perniagaan, 850 pembida, 23,000 peserta konvensyen, menteri-menteri kerajaan seluruh dunia dan media antarabangsa dengan nilai pulangan serta jualan melebihi RM6.7 bilion.

CATEGORIES
TAGS