MBMB keluarkan 116 lesen sementara jual durian

MBMB keluarkan 116 lesen sementara jual durian

Rasanya yang meniaga buah durian ni lebih ramai daripada 116 pelesen di sekitar Melaka Tengah ni?

AYER KEROH 11 Julai – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengeluarkan sebanyak 116 lesen sementara kepada peniaga buah durian dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Datuk Bandar MBMB, Mansor Sudin berkata, dalam tempoh sama, pihaknya juga mengeluarkan lesen buah-buahan bermusim lain di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

“Antara Mei hingga Julai, kita merekodkan lebih ramai pemohon iaitu meningkat kepada kira-kira 50 pelesen.

“Ini bermakna bukan setiap masa akan ada 116 pelesen kerana ia bermusim dan pada bulan biasa kita mempunyai antara 10 hingga 20 pelesen,” katanya kepada MelakaKini baru-baru ini.

Beliau mengulas saranan Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan Koperasi dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee yang meminta PBT mengeluarkan lesen sementara kepada peniaga durian bagi mengelak berlaku lambakan raja buah itu dipasaran.

Jelas Mansor, pihaknya hanya membenarkan peniaga durian menjual di lokasi selamat dan bukan di bahu jalan yang boleh membahayakan keselamatan.

Sementara itu, bagi peniaga durian Heng Nee Loon, 33, saranan itu amat baik selain memudahkan peniaga untuk menjana pendapatan selain tidak bimbang gerai disaman PBT.

“Saya pernah memohon lesen beberapa kali sebelum ini tetapi tidak berjaya dan pernah disaman RM250.

“Apabila kerajaan negeri menyuarakan cadangan ini, saya rasa amat lega,” katanya.

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS