MAULIDUR RASUL 1441H: Contohilah sifat Rasulullah SAW

MAULIDUR RASUL 1441H: Contohilah sifat Rasulullah SAW

Berselawatlah selagi hayat di kandung badan...

TANGGAL 9 November 2019 bersamaan 12 Rabiulawal 1441 Hijrah, umat Islam seluruh dunia akan meraikan sambutan Maulidur Rasul dalam menggerakkan semangat dan menyemai cinta serta rindu yang sejati kepada Rasulullah SAW.

Sewajarnya, umat Islam perlu mengingatkan diri sendiri, apakah nilai serta sifat yang perlu dicontohi dalam perwatakan Rasulullah SAW?

 

4 SIFAT WAJIB

Empat sifat wajib itu seperti diketahui umat Islam ialah siddiq yang bermaksud benar; amanah, tabligh (menyampaikan) dan fatanah (bijaksana). Alangkah bertuahnya umat Islam di Malaysia kerana di dalam pengajian pendidikan Islam sendiri terdapat silibus yang mengajar tentang empat sifat wajib tersebut.

Tetapi apa yang merisaukan ialah, apakah kesemua umat Islam di negara ini yang diajar mengenai empat sifat ini mempraktikkannya dalam kehidupan seharian? Ya, sememangnya ia terpulang kepada seseorang individu itu bagaimana mahu mengolah corak sifat mereka, namun sebagai umat Islam ketahuilah, jika kita mahu mengecap kecemerlangan dalam kehidupan ini contohilah empat sifat itu kerana ia diamalkan sendir oleh Rasulullah SAW.

Empat sifat wajib bagi rasul ini seharusnya diteladani oleh umat Islam tidak mengira kedudukan atau pangkat. Sifat ini tidak hanya terhad kepada golongan pemimpin sahaja, sebaliknya kita semua juga perlu amalkan dalam kehidupan

Setiap pemimpin dituntut untuk mengaplikasikan empat sifat terpuji itu dalam memimpin tetapi umat Islam perlu memahami setiap manusia ialah pemimpin atau khalifah. Justeru, setiap individu juga dituntut untuk menterjemah sifat terpuji itu dalam kehidupan harian.

 

BAGINDA DIGELAR KEKASIH ALLAH

Martabat Rasulullah SAW di sisi Allah SWT amatlah tinggi sehingga Baginda digelar kekasih Allah, namun sedalam mana kita menjiwai cinta terhadap Junjungan Nabi Muhammad SAW?

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Dan tidaklah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Surah al-Anbiya’, ayat 107)

Sesungguhnya Rasulullah SAW dimuliakan Allah SWT dengan tanggungjawab yang cukup besar.

Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi (terhadap umatmu), dan pembawa berita gembira (kepada orang yang beriman) serta pemberi amaran (kepada orang yang ingkar). Dan juga sebagai penyeru (umat manusia seluruhnya) kepada agama Allah dengan taufik yang diberiNya dan sebagai lampu yang menerangi.” (Surah al-Ahzab, ayat 45-46)

Allah SWT ada menyatakan kemuliaan diri Rasulullah SAW menerusi firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya Kami mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat).” (Surah al-Kauthar, ayat 1)

Ternyata jelas diperakukan Allah dan termaktub dalam al-Quran iaitu Kalamullah sebagai bukti kemuliaan Rasulullah SAW.

 

BERSELAWATLAH KE ATAS RASULULLAH SAW PADA SETIAP MASA

Apalah gunanya kita sebagai umat Islam tidak pernah berselawat ke atasnya dan tidak mengikut sunah serta menolak ajaran Baginda dengan alasan mengikut peredaran zaman dan teknologi?

Janganlah kita memberikan 1001 alasan, kerana ingatlah sabda Baginda SAW bermaksud: “Sesiapa yang membenci (menolak) sunahku, maka dia tidak termasuk golonganku.” (Muttafaq ‘alaih)

Kepada semua umat Islam di negara ini, ingatlah, titipkanlah selawat ke atas Rasulullah SAW tidak kira masa, waktu atau di mana-mana sahaja. Berselawatlah selagi hayat di kandung badan…

CATEGORIES